Khamis, 4 Ogos 2011

Walaupun Berbeza

Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :
"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
Perasaan syukur yang tidak terhingga kita rafakkan ke hadrat Allah di atas nikmat Ramadhan yang dijanjikan dengan rahmat pada awal kedatangannya diikuti dengan pengampunan dosa pada pertengahannya serta dibebaskan daripada api Neraka pada penghujungnya bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan.
Tawaran yang berharga daripada Allah terutama dengan anugerah Lailatul Qadar pada suatu daripada malam-malam Ramadhan di mana kelebihan beribadat pada malamnya lebih baik daripada seribu bulan mestilah sama-sama kita rebut bukan setakat disebut di mulut tanpa berusaha menghidupkannya. Taqwa itulah kalimah yang sentiasa disebut atas mimbar Jumaat dan bila tibanya bulan Ramadhan.
Antara ciri-ciri orang bertaqwa kepada Allah ialah sebagaimana yang disebut dalam al-Quran melalui firman Allah dalam ayat 17 – 19 surah az-Zaariyat:
"Mereka itu (orang taqwa) sedikit sekali tidur pada waktu malam, pada waktu sahur (akhir malam sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar memohon keampunan daripada Allah dan pada harta-harta mereka, ada bahagian yang ditentukan menjadi sedekah bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri daripada meminta-minta."
Sayyidina Umar al-Khottab pernah menyatakan kebimbangan tentang tidur dengan katanya : "Aku takut untuk tidur pada siang hari kerana bimbang banyak amanah rakyat akan terabai dan aku juga bimbang untuk tidur pada waktu malam kerana bimbang masa untuk beribadat kepada Allah semakin kurang."
Selagi umat Islam banyak tidur daripada ibadat, banyak berhibur daripada memikirkan tanggungjawab, banyak rehat daripada bekerja maka selagi itulah kita tidak akan maju dalam meneguhkan agama dan menguasai dunia.
Semoga Ramadhan tahun ini mampu digunakan sebaik mungkin dalam menambahkan ibadat bukannya menambah berat badan. Jadikanlah Ramadhan bulan yang penuh keberkatan, janji penggandaan pahala dan pengampunan dosa serta makbulnya doa sebagai bulan pesta ibadat bukan bulan pesta makanan lazat.
Banyakkan membaca dan tadarrus al-Quran serta yang paling penting adalah pengamalan terhadap kandungan al-Quran. Sesuatu ubat tidak berguna dalam menyembuhkan penyakit sekiranya hanya membaca arahan pada kulit ubat tersebut sahaja sebaliknya pesakit mesti memakannya barulah ubat itu berkesan dalam mengubati penyakit yang dihidapi.
Begitulah juga al-Quran tidak akan dapat menyembuh penyakit diri, ekonomi, politik, sosial umat Islam jika ia hanya dibaca tanpa pengamalan kepada sistem-sistem yang ditunjuk oleh al-Quran dalam kehidupan. Penuhilah masjid dan surau sebagaimana kita merindui untuk memenuhi Syurga Allah. Tarik dan ajak seramai mungkin anak-anak, saudara-mara, jiran tetangga kita dan umat Islam yang lain untuk bersama kita ke masjid dan surau.
Jinakkan anak-anak muda kita dengan masjid dan jangan biarkan ada di kalangan mereka terus mencemari Ramadhan dengan lumba haram dan sebarang aktiviti yang tidak berfaedah. Kita mesti serius dalam menangani masalah semakin ramai umat Islam yang meninggalkan solat dan puasa. Kita juga wajib menghidupkan peranan masjid dengan pelbagai program di samping ibadat khusus sehingga masjid semakin hidup dan berfungsi sepanjang masa.

Indahnya Ramadhan

Kalau ku tahu, indahnya Ramadhan, tidak aku sia-siakannya. Ramadhan kali ini menyedarkan aku tentang indahnya berpuasa, indahnya solat sunat Terawih, indahnya taddarus al-Quran, indahnya bersedekah.
Saban malam ku berkunjung di surau berdekatan untuk solat Insya' seterusnya solat sunat Terawih berjemaah. Keindahannya tidak terucap dengan kata-kata.
Solat sunat Terawih empat (4) rakaat diikuti tazkirah oleh ustaz jemputan kemudian empat (4) rakaat lagi diikuti dengan solat sunat Witir tiga (3) rakaat. Jumlah keseluruhan 11 rakaat, begitulah saban tahun aktiviti di surau berdekatan rumahku. Setiap hari ada ustaz jemputan yang akan menyampaikan tazkirah.
" Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu Syurga, ditutup rapat pintu Neraka dan ditambat para Syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi. "
(Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nisai)
Dan puasa itu merupakan perisai, maka janganlah seseorang yang berpuasa itu berkata keji dan meninggikan suara atau mencaci maki. Dan seandainya dicaci oleh seseorang atau diajaknya berkelahi hendaklah dijawabnya: "saya ini berpuasa, saya ini berpuasa!" (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nisa'i)
Secara tidak langsung, amalan dipertingkatkan pahala digandakan, ilmu juga ku perolehi. Alhamdulillah, ALLAH masih memberiku kesempatan untuk sama-sama meraikan bulan yang penuh keberkatan ini dengan pengisian amalan dan ilmu.
" Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan memberi manfaat kepada orang-orang  yang beriman."
(Surah Azzariyat: 57)
"Demi masa, sesungguhnya manusia benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran."
(Surah al-Asr: 1-3)
Sepuluh hari permulaan puasa ku mengharapkan rahmat dari ALLAH, sepuluh hari mendatang ku mengharapkan maghfirah dan sepuluh hari di penghujungnya ku mengharapkan kebebasan dari api Neraka.
Ramadhan,
Jika dulu aku sia-siakan kedatanganmu,
Kini aku menghargai kedatanganmu,
Setiap harimu, tak ku biarkan ia berlalu begitu sahaja,
Biarpun walau sedetik,
Ku alunkan irama merdu kitab Kalamullah,
Bait-bait indah ku hayati satu persatu,
Helaian demi helaian,
Terasa damainya hati,
Tatkala irama merdu itu berkumandang.
Ramadhan,
Jika dulu aku sia-siakan pemergianmu,
Kini pemergianmu ku tangisi,
Aku rindukan saat-saat indah bersamamu ya Ramadhan,
Aku rindukan solat sunat Terawih,
Aku rindukan taddarus al-Quran,
Aku rindukan malam Lailatul Qadar
Aku rindukan siang dan malammu ya Ramadhan,
Rindu siangmu untuk berpuasa,
Rindu malammu untuk berterawih,
Rindu siang dan malammu untuk menggandakan pahala.
Ramadhan,
Andai aku diberi peluang,
Melayari hari-harimu yang mendatang,
Tidak akan aku persiakan,
Akan ku penuhi hari-harimu,
Dengan amalan yang berlipat kali ganda.
Insya-Allah.
"Puasa Itu Sebahagian Daripada Kesabaran."

Allah, Kenapa Aku Dalam Neraka?

Tuhan, kenapa aku masih berada di sini? Bukankah aku dahulu selalu bersedekah di masjid-masjid? Bukankah aku dahulu sentiasa membantu sahabat-sahabatku yang kesusahan? Bukankah aku dahulu sentiasa memberi peringatan kepada sahabat-sahabatku? Kenapa aku masih ada di Neraka-Mu ini?
Tuhan, mana pergi amalan-amalan baik yang aku lakukan dahulu? Tidakkah aku telah menggunakan kudratku untuk jalan dakwah? Oh Tuhan. Dengarlah rintihan aku ini.
(Tiba-tiba)
Tangannya terangkat dan berkata, "Aku dahulu memasukkan duit ke dalam tabung kerana aku inginkan pujian sahabat-sahabatku terutamanya mereka yang berlainan jantina denganku."
Kakinya tiba-tiba bersuara,'aku berjalan pergi berdakwah semata-mata ingin menonjolkan diriku di hadapan orang lain bahawa aku ini seorang yang Alim dan Soleh. Aku ingin manusia melihat betapa aku ini hebat berdakwah dan kaya dengan ilmu agama.'
Mulutnya tiba-tiba menyanggah, 'ah, kau ni. Kononnya mulut kau ini kau gunakan untuk mengingatkan sahabat-sahabat kau, tetapi hakikatnya kau tidak mengamalkannya! Kau suruh orang jauhi zina tetapi kau dengan mudah ber'chit chat' dengan teman-temanmu yang berlainan jantina dan bercakap perkara-perkara yang tidak sepatutnya! Kau suruh orang bersedekah dan berbuat baik, tetapi diri kau? Pernah kau cerminkan diri kau? berapa banyak harta kau yang kau laburkan untuk Akhirat? dan berapa peratus nilai keihklasanmu di dalamnya?
Telinga yang hanya mendengar dari tadi turut tidak melepaskan peluang.'Hey hey, nanti dulu. Kau jangan lupa, telinga kau ni, kau gunakan untuk apa? Ingat tidak pada suatu ketika dahulu, kau menggunakannya untuk mendengar lembut suara si dia yang bukan muhrim mu? Apa kau sudah lupa ketika nafsu kau sudah menewaskan akal dan Iman mu, kau asyik dalam kecintaan kau pada dia yang tidak halal bagimu? Apa kau ingat semua ini bukan dosa? Mana perginya tazkirah yang kau beri dahulu kepada teman-temanmu? Apa yang kau ingatkan mereka? Sudah lupa? Kau mengatakan La Takrabu Zina. Punya kau bersemangat memberi ceramah mengenai bahaya pujuk rayu Syaitan, tetapi mengapa kau yang tertewas dengan pujuk rayu si Durjana tu?
Hati yang kehitam hitaman tiba-tiba mencelah, "itulah kau manusia. Sudah kerugian kau di sini bukan? Bukankah Guru-guru mu sentiasa berpesan, pastikan kau lakukan sesuatu dengan niat yang ikhlas. Bukankah kau sudah tahu benar segala amalan tanpa niat yang ikhlas umpama buih di lautan. Segala kebaikanmu itu habis hancur berkecai. Dahulu bila kau dianugerahkan dengan nikmat yang banyak, kau lupa diri.
Kau sombong! Keihklasanmu lenyap sekelip mata. Syukur mu kian menipis. Bongkak mu kian meninggi. Apa kau sudah lupa hakikatnya kau cuma manusia lemah ciptaan Si Maha Besar? Bukankah sifat sombong hanya milik mutlak Allah? Kau tahu bukan si durjana Iblis dihalau dari Syurga kerana kesombongannya? Si Firauan binasa kerana bongkaknya? Si namrud dihina kerana takburnya? Jadi kenapa kau tidak belajar dari pengajaran ini?
Betapa dirimu rugi hari ini wahai manusia. Andai didunia dahulu kau mengamalkan ilmumu, pasti kau bahagia sekarang. Tetapi, seperti kau tahu, There is no turn Back! Sekarang rasailah azab dari Allah ini bersama - sama dengan kami," kata si iblis dan kaumnya.
Tiba-tiba tersedarku dari mimpi. Astarfirullah. Saat itu, terbayang-bayang difikiranku akan Surah Yassin ayat 65 :
"Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa Yang mereka telah usahakan."
Ya Allah, lindungilah kami dari melakukan apa yang Kau larangi dan dekatkanlah kami dengan amalan-amalan yang Kau redhai.

Ramadhan dan Rahmat Allah

Bulan Ramadhan benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat. Ditamsilkan juga seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke sana. Perbuatan yang hidup dan cergas di dalam bulan ini dikiaskan seperti hujan April yang turun pada musim bunga. Bulan ini juga merupakan festival yang amat mulia bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada tuhannya. (The Risale-i Nur Collection, Letters, The Twenty-Ninth Letter).
RAMADHAN:BULAN RAHMAT, BERAMAL SOLEH DAN BERPUASA
Seperti yang diungkapkan Bediuzzaman Said Nursi kepada kita melalui kalimat yang indah ini, bulan Ramadhan mempunyai kuasa suci bagi perayaan umat Islam. Umat Islam yang bertakwa dan hidupnya sentiasa mencari keredhaan Allah tidak akan mengabaikan kewajipannya untuk berpuasa sepanjang bulan ini dengan penuh semangat dan keghairahan.
Puasa, seperti yang diwajibkan Allah "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah: 183) dan "...berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al-Baqarah: 184) merupakan tugas yang tidak ternilai faedahnya bagi umat Islam. Kewajipan yang dilaksanakan oleh semua umat Islam akan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan mereka yang bertebaran di serata alam. Kenyataan ini berdasarkan dengan aktiviti yang dilakukan bersama-sama ini sekaligus menguatkan kekuatan spiritual. Nabi Muhammad s.a.w. juga memperincikan kepentingan Ramadhan seperti berikut:
"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).
Berpuasa menjadi peluang keemasan bagi orang beriman yang benar-benar takutkan Allah dan kesempatan dimanfaatkan untuk mendekatkan diri pada-Nya. Melaksanakan perintahnya dengan bersabar menahan lapar sepanjang hari selepas melewatkan sahur dan sebelum menyegerakan berbuka menjadi bukti menuntut keredhaan Allah. Disebabkan itulah, orang Islam yang istiqomah mencari keredhaan Allah akan meraikan bulan ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Sepanjang bulan ini juga umat Islam akan memastikan setiap langkahnya dipenuhi dengan amalan-amalan yang diturunkan Allah selain menunaikan yang diwajibkan.
Tidak kurang juga mereka yang tidak mengamalkan hidup secara Islami di hari lain akan mengubah perilaku dengan berpuasa sepanjang Ramadhan. Ini kerana mereka percaya Allah akan membersihkan dan menyucikan kesalahan mereka dengan menunaikan kewajipan ini. Dengan itu, secara tidak langsung bulan ini bermakna seseorang itu akan mendekati agamanya dan meninggalkan perbuatan buruk yang dilakukannya.
Bulan ini juga sesungguhnya telah menurunkan kadar jenayah dengan peratusan yang tinggi di seluruh negara Islam. Penipuan, pengkhianatan, fitnah dan umpat mengumpat akan ditinggalkan kerana mereka menyedari akan larangan ketika berpuasa. Semangat dan keazaman mereka untuk berfikir dan melakukan perbuatan baik juga meningkat. Dalam erti kata lain, berpuasa seperti memandu mereka untuk berfikir sesuatu yang tidak pernah terlintas langsung di minda mereka. Bagi sesetengah individu pula, bulan ini digunakan untuk berehat sambil melakukan amal yang soleh dan perbuatan mulia.
Selain pelbagai faedah yang diperolehi dari berpuasa, kesabaran juga antara karakter yang boleh dipupuk dan meyakini kesengsaraan itu mendidik untuk memajukan seseorang. Sebab itulah Bediuzzaman Said Nursi mengatakan: "puasa itu merupakan penawar bagi mereka yang kurang kesabaran dan kurang ketahanan walaupun digabungkan masalah dua orang dalam satu individu". Semua ganjaran yang Allah janjikan akan dikurniakan bagi mereka yang memenuhi kewajipan dengan berpuasa untuk meningkatkan keimanan kepada-Nya. Semua ganjaran ini merupakan balasan di atas ketaatan kepada agama yang dilakukan dengan penuh semangat walaupun orang lain tidak tahu betapa payahnya ketika berhadapan dengan kelaparan ini.Apa yang dijelaskan tidaklah merangkumi semua faedah yang diperolehi dari bulan Ramadhan dan puasa. Ada banyak lagi kebaikan yang tidak kita ketahui atau tidak dihargai tetapi Allah tetap mengurniakannya pada kita di sebalik kewajipan puasa itu.

Kita Bercinta di Syurga Ya

Berkali-kali dia menekan butang 'play' di radio hadapan. Mahu mendengar lagu daripada kumpulan kegemarannya, FarEast. Suasana di luar amat gelap. Sesekali kelihatan pancaran kilat beserta guruh. Sama-sama memeriahkan suasana malam di lebuhraya. Hujan sejak awal perjalanan tadi masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti mengalah. Hanya beberapa minit sebentar tadi hujan turun renyai-renyai.
Pemanduannya ditumpukan sepenuhnya di jalan yang sedang dilalui. Tahap keselamatan diletakkan pada tahap tertinggi di saat-saat begitu. Manakan tidak. Kiri kanan jalan, dipenuhi dengan kenderaan berat. Masing-masing memecut laju untuk ke destinasi yang dituju. Khuatir jika matanya berasa letih, sejak awal lagi dia sudah minum secawan kopi panas di hentian rehat setengah jam yang lalu. CD yang dimasukkan tadi, mungkin dapat membantu pemfokusannya berada pada tahap yang meyakinkan.
"Abang nak dengar lagu ape?"
Satu suara tiba-tiba memecah kesunyian perut kereta yang sedang meluncur laju.
"Sayang cuba tekan nombor 3.. dah lama abang tak dengar.. sedap lagu tu.."Balas Amin kepada isteri tercinta, Izyani. Dengan nada yang lembut, tetapi masih jelas didengari.
"Tajuk pe lagu tu?"
"Err.. Ade la.. Hehe.."
"Hek eh.. Nak rahsia-rahsia plak.."
"Suprise-surprise.. Lagu ni abang tujukan khas buat bidadari tercinta abang ni.." Ujar Amin bersahaja. Tangannya membelai manja pipi Izyani. Terasa kebahagiaan di situ.
"Romantiknye abang ni.."
"Mesti la.. untuk bidadari abang sorang ni je.."
Seketika kemudian, kedengaran lagu dimainkan. Izyani senyum, seraya memandang wajah suami di kerusi pemandu. Mendalam sekali setiap bait-bait lirik yang dilagukan.
Mekar di taman hati..
Cinta pertama..
Engkau ciptaan seni idaman kasih..
Antara bibir tersiratnya pekerti..
Kelembutan yang mendamaikan jiwa..
"Oo.. lagu ni rupenye.." Izyani sempat menyimpul satu senyuman manja buat sang suami di sebelah.
"Sayang suka lagu ni?"Soal Amin.
"Yup.. suka sangat-sangat.. dulu-dulu kat asrama, memang selalu sangat dengar lagu ni.. Masa remaja kan.. Dulu ada kawan-kawan yang sampai tunggu-tunggu kat radio untuk dengar lagu ni.."
Sayang tak tunggu kat radio?
"Hehe.. ada la gak nak wat camtu.. tapi tak sempat.."
"'First time' abang dengar lagu ni, abang akan fikir sorang-sorang.. sapa la calon isteri abang nanti.. sebab cinta yang Allah anugerah kat abang, abang nak kongsi dengan isteri abang ja.. dan abang selalu berdoa, untuk Allah anugerahkan kat abang, seorang yang solehah untuk sama-sama berkongsi cinta daripada Allah ni.. dan sekarang ni, Allah dah makbulkan doa abang.." Bicara Amin panjang lebar.
Izyani di sebelah menarik nafas panjang. Lalu dihembuskan perlahan. Ada rasa terharu di hatinya. Syukur atas anugerah yang diberikan Allah. Mendapat suami yang soleh. Sentiasa meletakkan cinta atas dasar Iman dan taqwa. Sentiasa mengingatkan bahawa tidak ada satu pun milik kita di dunia.
Semua itu, hanya pinjaman sementara. Yang boleh ditarik balik, pada bila-bila masa. Bersedia atau tidak, bukan itu menjadi persoalan. Tepuk dada, tanya persediaan. Termasuklah dalam soal cinta. Cinta atas dasar kerana-Nya, akan sentiasa merasa bahagia.
"Tak percaya? Cubalah!" Kata-kata Ustazah Fatimah sejak di zaman matrikulasi dulu, sentiasa terngiang-ngiang di telinga. Dari situ, dia membulatkan tekad. Untuk bercinta hanya kepada suami. Disandarkan cinta itu hanya pada Illahi.
"Sayang pulak camna?"
Amin mengejutkan lamunan Izyani dengan soalan tadi. Perasaan tadi membuatkan dia berasa seperti berkhayal. Khayal dalam keasyikan bercinta bersama suami.
"Sayang akan tanya diri bila dengar lagu tu.. layak ke diri ni untuk terima 'cinta pertama'? Memang rasa tak layak sangat-sangat.. siapa la yang nak 'share' 'cinta pertama' dengan sayang.."
"Alolo.. Wat ayat sedey plak.."Amin memintas kata Izyani.
"Huhu.. yala.. mesti la sedey.. bukan la sedey, tapi camtu la kan.. sapa la kita ni.."
"Sekarang ni sedey lagi la?"Soal Amin ringkas.
"Tak dah!"Balas Izyani.
"Sebab?"
"Sebab tak sedey laa..." ^_^
"Oo.. kenakan abang ye.."
"Tak la.. tapi betul la.. sekarang tak sedey dah.. sebab Allah dah pinjamkan kat sayang seorang suami yang baik, soleh untuk sama-sama kongsi rasa seronok, sedih.."
Amin membelai lembut pipi Izyani. Dirapatkan sedikit tubuh isterinya, lalu dikucup dahi isteri tercinta.
"Semoga kita dapat bercinta lagi di Syurga nanti..Doanya di telinga Izyani..
"Ameen.."Balas Izyani.
Kelihatan kilauan cahaya cerah dari arah belakang kereta. Seperti memberi isyarat kecemasan. Amin memandang ke arah belakang melalui cermin sisi kereta.
"Lajunye kereta tu.."Getusnya di hati.
"Ya Allah!!"
Ayat itu tiba-tiba terpacul daripada mulutnya. Baru kini dia sedar. Mereka sedang berada pada lorong memotong.
Dammmmm!!
Satu hentaman kuat dari arah belakang. Keretanya gagal dikawal. Berputar-putar di tengah lautan kenderaan yang lain. Dapat dirasakan putaran itu amat kuat sekali. Akhirnya melanggar tembok pembahagi jalan.
----
Dalam kebahagian, dijemput bertemu Yang Maha Esa?
Mustahil?
Semoga kita dapat bercinta di Syurga nanti..
- Artikel iluvislam.com

....


I made this widget at MyFlashFetish.com.