Rabu, 4 Mei 2011

Khabar Cinta Dari Syurga

Satu ketika dahulu, semasa saya dan keluarga tinggal di Sarawak, saya pernah menjadi sukarelawan di sebuah pusat pemulihan akhlak wanita di sana. Kelihatan dari luar tempat ini tidak ubah seperti penjara, dengan kawalan ketat, pagar tinggi dan dawai tajam berceracak di kelilingnya.

Penghuninya rata-rata di bawah umur lapan belas tahun. Agak lama saya berulang alik ke sana, kira-kira hampir dua tahun. Oleh kerana sudah biasa dan rapat dengan saya, mereka tidak segan silu menceritakan latar belakang dan kisah bagaimana mereka diberkas dan dihantar ke pusat tersebut.


A, seorang anak angkat dalam keluarga termiskin. Mula bekerja sebagai "pelayan kedai kopi" (istilah yang digunakan bermakna pelacur) pada usia 14 tahun. Menurut A, meskipun dia kurang didikan agama, dia tahu ini kerja yang menjelikkan. Dia hairan dengan layanan keluarganya bila tahu tentang kerja yang dibuatnya.
Setiap minggu apabila dia pulang dengan beg sendat berisi wang, keluarga angkatnya akan melayannya dengan begitu mesra, tidak seperti biasa. Jika pulang dengan tangan kosong, mereka akan memarahi dan menyisihkannya. A sanggup bekerja menjadi "pelayan kedai kopi" kerana itulah caranya untuk dia diterima keluarga angkatnya.

Cerita ini cukup pelik dan menyayat hati. Saya sendiri terkejut dan tidak percaya bagaimana sebuah keluarga Islam boleh berbuat demikian kepada anaknya, meskipun anak angkat, tetapi bila ditanya dengan penyelia pusat tersebut, ternyata benar.

B,17 tahun, dibesarkan oleh nenek yang amat memanjakannya. Bila remaja, B diambil semula oleh ayahnya yang menurut ceritanya terlalu garang. Akhirnya B lari dari rumah dan hidup luar nikah dengan teman lelakinya sebelum diberkas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Menurut B, dia merasa dirinya dibenci oleh ayah sendiri kerana selalu dimarahi di rumah.

KETANDUSAN KASIH DAN AKIBATNYA
Meskipun saya hanya paparkan dua kisah contoh tentang penghuni di pusat pemulihan akhlak tersebut, hakikatnya hampir semua penghuni pusat itu kisah hidupnya mempunyai satu persamaan : mereka menderita justeru ketandusan kasih. Kesemua mereka terjebak dalam kancah maksiat kerana dahagakan kasih sayang, tenggelam punca kerana terasa diri tidak dikasihi, dicintai dan disayangi.

Tidak kira dari ibu bapa atau sesiapa sahaja. Bila terasa dirinya tidak dihargai, mulalah mencari sumber cinta dari luar. Hal ini berlaku terutamanya bagi golongan remaja. Bila meningkat remaja, yang lelaki menagih cinta dari remaja wanita dan begitulah sebaliknya.

Perkataan CINTA hanya lima huruf dan dua suku kata. Namun pengaruhnya cukup berat dalam kehidupan setiap insan. Saya masih ingat kata-kata pujangga yang dicoret seorang kakak senior dalam buku autograf saya sebelum menamatkan persekolahan dahulu. Coretannya berbunyi begini: "To love is nothing; to be loved is something. But to love and be loved is everything."


Alangkah indahnya hidup ini apabila orang yang kita cintai membalas cinta kita. Hari-hari yang dilalui terasa sempurna dan bahagia. Alangkah bertuahnya anda yang berjaya menemui pasangan sehinggakan saling cinta mencintai setulus hati seumur hidup. Namun, bagaimanakah kita boleh menemui cinta yang luhur dan sejati ini? Jawabnya, dengan mencintai seseorang semata-mata kerana Allah.

Saya masih ingat, kali pertama saya mendengar kalimah "Biarlah semua yang kita lakukan itu kerana Allah. Hatta cinta sekalipun, jika mencintai seseorang biarlah semata-mata kerana Allah," saya termenung sejenak. Terasa kabur dan sukar difahami. Namun jauh di lubuk hati, saya yakin inilah cinta yang lebih baik, bermanfaat dan yang Allah mahu kita praktikkan. Apa ertinya mencintai seseorang kerana Allah , tidak kira sama ada orang yang dicintai itu sahabat, ibu atau bapa, anak, suami atau isteri? Mungkin paparan peristiwa di bawah boleh membantu kita memahaminya.

KISAH SETEGUK AIR 
Dalam Peperangan Yarmuk, seorang pembawa air tercari-cari pejuang Islam yang mungkin memerlukan air. Akhirnya beliau menjumpai seorang pejuang yang cedera parah dan mengerang kesakitan. Namun belum sempat pembawa air ini menyuakan air ke bibir pejuang ini, tedengar rintihan seorang pejuang lain yang berteriak "Air! Air! Berikanlah saya air!"


Pejuang pertama yang sedang nazak mengisyaratkan kepada pembawa air untuk meninggalkannya dan memberikan air tersebut kepada pejuang kedua. Pembawa air ini bergegas kepada pejuang kedua yang juga berlumuran darah dan nyata tipis peluangnya untuk hidup. Namun belum sempat pejuang kedua ini meneguk air yang dibawakan kepadanya, terdengar teriakan "Air! Air! Berikanlah saya air!" daripada pejuang ketiga.

Pejuang kedua juga mengisyaratkan kepada pembawa air ini untuk segera memberi air kepada orang ketiga yang berteriak tadi. Namun sesampainya pembawa air ini kepada pejuang ketiga dan belum sempat dia memberi air kepadanya, pejuang tersebut yang sedang nazak juga menghembuskan nafas yang terakhir. Pembawa air ini bergegas kepada pejuang kedua tadi, tapi dia pun telah mati syahid juga. Dia bergegas ke pejuang pertama, tapi pejuang pertama itu pun sudah meninggal dunia. Menitis air mata si pembawa air tadi bila menyedari betapa tiga orang pejuang ini sanggup mengorbankan keperluan masing-masing demi orang lain!

(Saya sengaja tidak menyebut nama-nama pejuang dan pembawa air dalam kisah di atas kerana beberapa sumber yang saya rujuk memberikan nama-nama yang berlainan. Harap sudi perbetulkan jika saya silap di sini.)

Paparan kisah seteguk air di atas menunjukkan beberapa ciri cinta kerana Allah, iaitu:
-       memahami bahawa orang yang kita cintai itu milik Allah dan dia boleh diambil olehNya pada bila-bila masa
-       Bila kita mencintai seseorang kerana Allah, kita mementingkan dirinya lebih daripada diri kita sendiri meskipun ini bermakna kita mengetepikan keperluan peribadi. Relevannya poin ini kerana dunia sekarang amat menitikberatkan individualisme, iaitu mementingkan diri sendiri.

Kisah seteguk air jelas menggambarkan cinta yang luhur dan sejati. Tidak kira sama ada cinta antara lelaki dan wanita, suami dan isteri, anak-anak, ibu bapa atau sahabat. Sebagai ibu bapa, kita perlu mendidik anak-anak supaya mencari cinta yang hakiki, iaitu cinta yang membawa kita ke syurga. Satu-satunya cinta yang membawa kita ke syurga ialah mencintai seseorang kerana Allah. Ia tidak mudah dilakukan, tetapi memerlukan usaha yang berterusan.

DIDIK ANAK DEKATI ALLAH DAHULU SEBELUM MENCARI JODOH
Buat ibu bapa yang anak-anaknya meningkat remaja, topik cinta adalah sesuatu yang perlu dibincangkan secara terbuka dengan anak-anak. Pengaruh budaya luar yang mendesak perhubungan bebas antara lelaki dan wanita serta naluri semula jadi untuk mencari pasangan mewajibkan kita untuk tidak mengabaikan perkara ini. Keinginan untuk hidup berpasangan sememangnya dititipkan dalam jiwa setiap insan. Keinginan mempunyai pasangan ini lazimnya mula terasa semasa usia meningkat remaja.

Saya pernah menghadiri suatu sessi kuliah yang penceramahnya seorang lelaki muda berbangsa Greek, memeluk Islam pada usia dewasa. Menariknya dalam kuliah ini, beliau berkongsi cerita tentang bagaimana beliau menemui isterinya, seorang wanita Islam dari Malaysia. Katanya, selepas memeluk Islam, beliau meninggalkan cara hidup lama, tidak lagi mahu ada teman wanita.

Sebaliknya beliau berpegang kepada prinsip, "Find Allah and he or she will find you." Maksudnya, "Carilah Allah dan anda akan temui gadis atau jejaka idaman hatimu." Betapa indahnya konsep ini! Saya kira ini bermakna, jika kita hendak mencari suami atau isteri yang paling sesuai, dekatkanlah diri dengan Allah dan yakinlah bahawa Dia akan pertemukan kita dengan jejaka atau gadis yang secocok dengan kita. Inilah konsep yang amat perlu diterapkan dalam jiwa remaja anak-anak dan diri kita sendiri, iaitu :
-       cinta yang hakiki, iaitu cinta yang membawa kita ke syurga bermula dengan cinta kepada Allah. Dari sinilah terbitnya cinta kepada orang lain seperti cinta kepada ibu bapa, suami, anak-anak dan sahabat.
-       cinta yang membawa ke syurga antara lelaki dan wanita ialah apabila pasangan lelaki dan wanita ini mencintai satu sama lain semata-mata kerana Allah. Ini bermakna, mendirikan rumahtangga dengan niat untuk mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. yang amat digalakkan oleh Islam.
-       Bila suami isteri mencintai satu sama lain kerana Allah, jika timbul konflik, masing-masing tidak egoistik, kedua-duanya akan merujuk kepada AlQuran dan Sunnah dan lebih mudah untuk maaf memaafkan. Dengan itu, perbezaan pendapat ini tidak memanjang menjadi suatu pertelingkahan yang besar dan dapat dibendung dan diselesaikan dengan baik.

Sehingga si suami bertanggapan isterinya sentiasa mendahulukan kepentingannnya dan si isteri pula merasakan dialah wanita yang bertakhta di hati suaminya. Redhanya suami kepada isteri dan isteri kepada suami ini pada hemat saya adalah satu cara untuk kita menambah saham akhirat dan satu lagi langkah mendekatkan kita kepada Allah dan syurgaNya.

Wallahua'lam.
- Artikel iluvislam.com

Ahad, 1 Mei 2011

Air Terjun Yang Indah


Pernah pergi tempat air terjun? Katakanlah, satu hari ni, kita teringin nak pergi tengok air terjun. Kawan-kawan kita kata ada satu air terjun ni sangat best! Harus pergi sana! Jadi kita pun excited nak pergi.
Rancang punya rancang, dengan membuat pelbagai persiapan yang sangat teliti, daripada masa perjalanan ke sana, aktiviti yang nak dilakukan di sana, berapa ramai yang nak pergi, dan macam-macam lagi.
Orang kata, memang bersungguh habislah!

Akhirnya, tibalah hari untuk pergi ke air terjun tersebut.
Biasalah, nak pergi tempat yang belum tercemar dengan pembangunan ni, perjalanan dia mesti agak 'bumpy' dengan jalan yang tak licin, ditambah lagi dengan sakit kepala naik 'angkut' (baca:van kecil yang tempat duduknya menghadap ke sisi jalan) adui, rasa menyesal pulak tiba-tiba.
Tapi, sebab kita yakin dah dengan kata-kata kawan-kawan kita tadi, bahawa air terjun tu tersangatlah best. Lebih kurang gitu la kan... punya, kita kuatkan semangat.
Walaupun terpaksa mengharung badai dan ombak, demimu air terjun aku sanggup meredahnya!
Lepas tu, tengah kita sakit perut, pening nak muntah, dengan jalan yang tak best tu, tiba-tiba telinga kita dapat menangkap sesuatu.
Bunyi air terjun!!
Daripada jauh kita dapat dengar. Lepas tu semangat kita pun naik...
Tak lama lepas tu kita dah boleh nampak sungai kecil dengan air yang sangat jernih. Dalam hati dah terfikir, 'air terjun tu nanti mesti lagi cantik airnya'
Setelah hampir dua jam mengharungi ombak dan badai, maka sampailah kita kepada kawasan air terjun yang dijanjikan tadi. Subhanallah, memang sangat cantik dan mendamaikan.
Maka hati kita pun dah berbunga-bunga dan gembira bahagia, tak menipu kawan-kawan kita rupanya.
Cerita di atas merupakan kisah yang benar, namun boleh dijadikan sebagai sebuah analogi. Suatu persoalan, kenapa kita boleh percaya yang ada air terjun kat depan?
Pertama, sebab kita dah buat banyak persiapan untuk ke sana. Jadi sudah tentu kita tahu ke mana arah tuju kita.
Kedua, kerana ada banyak 'tanda' yang kita lihat dan dengar.
  • Daripada bunyi air terjun yang boleh didengari daripada jauh,
  • anak sungai yang kita lihat jernih airnya,
  • kata-kata sahabat kita, kerana kita yakin yang dia tidak akan menipu kita.
Jadi, walaupun banyak cabaran dan badai di hadapan, disebabkan Yakin itu, kita mengharunginya dengan tabah dan gagah.
* Cuba gantikan air terjun itu dengan akhirat dan segala janji-janji Allah.
Ia sesuatu yang pasti, dan tanda-tandanya sudah banyak ditunjukkan oleh Allah bagi insan yang mahu berfikir.
Kata-kata 'kawan' kita itu pula dengan kata-kata Muhammad bin Abdullah, Sang Al-Amin, yang tidak pernah menipu, segala kata-katanya, sama ada menerusi kalam Allah Al-Quran atau Hadith.
Pernahkah Rasulullah saw menipu? Jawapannya, kita semua tahu.
Tanda-tanda yang disebutkan sebagai semua tanda-tanda kebesaran dan keesaan Allah, samada dalam Al-Quran dan Hadith, atau melalui segala ciptaanNya di bumi. Segala keindahan alam, semuanya tanda kebesaranNya.
Segala kesusahan dalam perjalanan tadi pula, segala ujian (sama ada baik atau buruk) yang menimpa kita semasa di dunia.
Air terjun tu pula, dianalogikan sebagai syurga yang dijanjikan oleh Allah sangat indah dan tak mampu dibayangkan dek akal manusia yang pendek dan terbatas.
Jika dengan air terjun sahaja kita sudah kagum, apatah lagi syurga kan kawan-kawan?
Perjalanan kita ke sana pula, sebagai perjalanan kita untuk ke akhirat kelak. Pendek kata, kehidupan kita di bumi lah. Bukankah kita semua adalah pengembara?
Pengembara menuju kehidupan yang kekal abadi? Kehidupan kat dunia ni, tersangatlah pendek jika dibandingkan dengan akhirat kelak.
Tak berbaloi rasanya hidup berseronok di dunia, di akhirat merana. Oh tidak! Nauzubillah...
Akhir sekali, bukankah kita sanggup menghadapi segala kesusahan untuk ke air terjun tadi kerana kita YAKIN? Maka tukarkanlah perkataan yakin itu kepada IMAN kita dan terjemahkanlah ia dalam kehidupan kita.
Sebelum melakukan apa-apa, fikirkan dulu, apa natijahnya buat diriku di Sana nanti? Baikkah? Atau burukkah?
Keyakinan kita pada Allah, pada segala apa yang dijanjikannya, menjadi neraca yang cukup berharga. Ia tidak dapat diwarisi daripada bapa atau ibu yang soleh, ia perlu dicari dan ditanam oleh diri sendiri.
Diperkukuhkan dengan ilmu dan amal hanya kerana Allah swt satu-satunya Zat yang layak untuk diibadahi. Dengan bimbingan dan pedoman daripada Rasulullah saw, contoh terbaik bagi seluruh umat manusia.
"Begin with the end in mind", kata Stephen Covey.
Bagaimana kita mahu pengakhiran kita kelak, itulah yang akan mencorakkan seluruh kehidupan kita, insya Allah.
Kehidupan ini bukanlah mudah, banyak cabaran dan dugaan, terutama sekali di akhir zaman ini, dengan fitnah Dajjal sedang berleluasa, semoga kita terlindung daripadanya, Amin.
Namun, keindahan dan kecantikan syurga yang menjadi motivasi kepada kita, untuk terus kukuh dalam mentaatiNya, untuk terus kuat dalam menjauhi segala laranganNya, dengan izin Allah swt.
Iman, itu neracanya. Syurga, itu motivasinya.
Ayuh, mari menjadi insan yang bijak!
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. (Iaitu) Orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan" - Surah Ali-Imran (3:133-134)
Kita hanya manusia, dan manusia sering terlupa. Marilah mengingatkan sesama kita, moga berjumpa di syurga.

Bencana Akibat Perbuatan Manusia


Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila Allah menurunkan azab ke atas dunia untuk satu-satu kaum, maka azab itu akan menimpa ke atas mereka yang berada sama dalam masyarakat kaum itu, kemudian apabila mereka dibangkitkan di akhirat nanti maka kedudukan mereka adalah mengikut taraf keimanan serta amal kebajikan yang mereka lakukan di dunia ini". (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Bala
Hadis di atas bermaksud apabila Allah mahu menurunkan bala atau bencana ke atas satu-satu kaum di dunia ini kerana ada di kalangan kaum itu melakukan kejahatan atau maksiat, maka azab yang diturunkan itu menimpa ke atas kaum yang beriman dan juga kepada mereka yang kufur. Tetapi apabila mereka berada di hari Akhirat nanti, mereka akan ditempatkan di tempat yang sesuai dengan kedudukan mereka mengikut keimanan dan amal kebajikan yang mereka lakukan di dunia ini.
Allah yang Maha Berkuasa, melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya tanpa mengira sesiapa. Allah melakukan itu dengan kehendak dan kekuasaan-Nya. Dialah yang menjadikan segala-galanya dan Dialah yang menjadikan siang dan malam, panas, sejuk, ribut dan sebagainya. Di samping itu, Allah menurunkan rahmat dan Dia juga menurunkan bala kepada mereka yang Ia kehendaki.
Sesungguhnya, Allah itu bersifat pemurah kepada sekalian makhluk termasuk jin dan manusia, sama ada makhluk itu beriman kepada-Nya atau makhluk itu kufur kepada-Nya. Allah memberi banyak nikmat kepada hamba-Nya di dunia ini sama ada nikmat yang mereka rasakan itu telah diusahakan ataupun tidak. Akan tetapi pada hari Akhirat nanti Allah tidak akan memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang kufur, sebaliknya memberikan nikmat kepada mereka yang beriman saja.
Namun begitu Allah menurunkan nikmat atau bala secara khusus kepada hamba-Nya di dunia ini disebabkan kezaliman mereka atau kerana keingkaran mereka. Di samping itu, Allah telah menurunkan bala atau bencana secara umum ke atas satu-satu kaum disebabkan ada dalam masyarakat kaum itu melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.
Photo by:REUTERS/Paulo Whitaker (BRAZIL ENVIRONMENT SOCIETY DISASTER)
Dengan demikian, apabila Allah murka kepada sebahagian daripada kaum itu kerana kejahatan yang dilakukan oleh mereka, maka Ia menurunkan bala dan bencana ke atas kaum itu secara umum tanpa memilih sama ada mereka itu terdiri dari dari orang kafir atau pun dari mereka yang beriman.
Sungguhpun begitu, setiap mereka yang beriman telah dijanjikan dengan nikmat syurga manakala bagi mereka yang kafir telah dijanjikan dengan balasan neraka di akhirat kelak.
Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW sungguh bernasib baik kerana Allah tidak memberi hukuman yang sewajarnya kepada hamba-Nya yang melakukan maksiat di dunia ini sekalipun seseorang itu telah melakukan dosa yang besar.
Balasan yang diberi kepada mereka di dunia ini hanya kecil saja. Ia boleh dianggap sebagai pengajaran serta menjadi teladan kepada mereka yang hidup di dunia ini supaya insaf dan berhenti daripada melakukan sebarang kemungkaran.
Sebaliknya balasan yang wajar diberikan kepada mereka yang bersalah itu adalah di akhirat kelak sekiranya mereka mati belum sempat untuk bertaubat.
Dengan demikian, kita sebagai umat Muhammad patut bersyukur kepada Allah kerana Ia telah memberikan taufik hidayah kepada kita di mana kita dapat beriman kepada-Nya serta berpegang dengan agama-Nya.
Pada masa dulu, sebelum adanya syariat Nabi Muhammad SAW seperti berlakunya ke atas nabi terdahulu seperti nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan lain-lain yang mana pada zaman itu, jika ada mereka yang tidak beriman atau mereka yang melakukan perbuatan mungkar dan apabila mereka diberi amaran supaya mematuhi suruhan dari Allah tetapi mereka masih lagi enggan, Allah menurunkan ke atas mereka dengan azab yang sungguh dahsyat bagi membinasakan kaum itu.
Bala atau bencana yang diturunkan itu bermacam-macam rupa seperti yang berlaku ke atau kaum Nabi Nuh yang berupa banjir yang sangat besar.
Photo by:REUTERS/Stringer (CHINA - Tags: ENVIRONMENT ANIMALS SOCIETY) CHINA OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN CHINA
Hal sama juga berlaku kepada umat Nabi Musa yang mana kaum Firaun tenggelam dalam sungai Nil. Bala yang menimpa Nabi Lut pula berlaku di mana bumi mereka diterbalikkan.
Dari Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah saw bersabda: "Kelak bumi akan memuntahkan jantung hatinya berupa tiang-tiang emas dan perak. Maka datanglah seorang pembunuh seraya berkata: "Kerana inilah aku jadi pembunuh". Kemudian datang pula si perompak, lalu berkata: "Kerana inilah aku putuskan hubungan silaturrahim". Kemudian datang pula si pencuri seraya berkata: "Kerana inilah tanganku dipotong". Sesudah itu mereka tinggalkan sahaja harta kekayaan itu, tiada mereka mengambilnya sedikitpun." (Riwayat Muslim)
Lazimnya manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana gila mengejar harta dunia, manusia terpengaruhi oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan sehingga ada yang sanggup berbunuh-bunuhan, merompak dan memutuskan silaturrahim.
Dunia dicipta untuk menguji manusia siapakah yang paling bertakwa. Sesungguhnya harta dunia tidak akan membawa apa-apa erti jika ia tidak dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Allah.
Hakikat harta diterangkan Rasulullah saw seperti sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: "Seorang hamba (manusia) berkata, "Hartaku, hartaku!". Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis: (1) Apa yang dimakannya lalu habis. (2) Apa yang dipakainya lalu lusuh. (3) Apa yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat. Selain yang (3) itu, semuanya akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain". (Muslim)
مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ وَأَرْسَلْنَاكَ لِلنَّاسِ رَسُولاً وَكَفَى بِاللّهِ شَهِيدًا
Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri. Kami mengutusmu menjadi Rasul kepada segenap manusia. Dan cukuplah Allah menjadi saksi. 
(Surah An-Nisa' 4: Ayat ke 79)

Lensa Hati

Lensa Hati adalah ruangan perkongsian foto oleh fotografer-fotografer serata dunia dari pelbagai jenis bidang fotografi. Foto atau gambar menceritakan 1001 macam kisah, tetapi Lensa Hati akan menekankan aspek kerohanian hati dari foto, yakni perkaitan dari foto kepada al-Quran mahupun Hadith Rasulullah SAW. dan apa jua perkara kebaikan darinya. Moga apabila kita melihat di alam realiti seperti foto yang dikongsikan di sini, lalu terbitlah ayat al-Quran atau Hadith dari benak hati kita.

....


I made this widget at MyFlashFetish.com.