Jumaat, 9 April 2010

Hulur Tanpa Harap

Benar, tangan memberi lebih baik daripada yang menerima. Menderma dan bersedekah pasti akan menambahkan rezeki buat kita. Itu adalah sebahagian cara mendapatkan kemurahan serta keberkatan rezeki. Namun, masih ramai di kalangan umat Islam bimbang dan tidak yakin jika dia mengeluarkan sedikit daripada rezeki yang diterima untuk dimanfaatkan kepada orang lain.
Hakim bin Hizam meriwayatkan, katanya: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sedekah yang paling utama atau sedekah yang paling baik adalah sedekah daripada orang kaya dan tangan yang berada di atas itu lebih baik daripada tangan yang berada di bawah serta mulakanlah dengan orang yang berada di bawah tanggunganmu (isteri dan anak-anak),” (Hadis riwayat Muslim).
Maka sebagai umat Islam, kita perlu menanamkan semangat dan jiwa untuk membantu masyarakat yang kurang bernasib baik terutama kaum keluarga terdekat terlebih dahulu. Daripada Abu Hurairah meriwayatkan: “Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Jika kamu keluar pada waktu pagi untuk mencari kayu, lalu dia memikulnya di atas belakangnya; kemudian dia bersedekah dengannya dan tidak mengharapkan pemberian daripada orang lain, maka itu adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta daripada orang lain. Tanpa mengira sama ada orang itu memberi kepadanya atau tidak kerana tangan yang berada di atas itu adalah lebih mulia daripada tangan yang berada di bawah dan mulalah dengan memberinafkah atau mendidik orang yang berada di bawah tanggunganmu terlebih dulu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Manakala 'sikap berkira' perlu dielakkan kerana ia pasti menyempitkan peluang untuk memperoleh rezeki. Ramai yang beranggapan apabila mereka berbelanja sudah pasti nilai duit atau harta itu semakin berkurangan. Mereka sebenarnya perlu berasa yakin rezeki itu akan bertambah sekiranya ia digunakan untuk tujuan kebaikan terutama membantu golongan memerlukan. Rezeki yang dijanjikan Allah memang benar dan kadang-kala manusia tidak menyedari Allah kurniakan rezeki itu dalam pelbagai cara.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Talaq, ayat 2 hingga 3)
Nabi bersabda yang bermaksud: “Perlakuan perkara kebaikan mampu menghalang dari terjerumus dalam keburukan, kecacatan dan kebinasaan.”(At-Tabarani, Al-Haitahami sanadnya dari Hasan). Namun Allah tetap akan menduga hamba-Nya bagi melihat sejauh mana keimanan serta kesabaran mereka jika ditimpa pelbagai ujian.
Al-Bazar, Thabrani fil Ausath meriwayatkan sebuah hadis nabi yang bermaksud: “Dari Aisyah r.a. Berkata: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Berpagi-pagilah mencari rezeki, kerana sesungguhnya berpagi-pagi itu membawa berkat dan menghasilkan kemenangan.” bagi mereka yang liat bangun pagi bermakna mereka menghambat atau menyekat rezekinya sendiri. Rasulullah s.a.w amat memuji orang yang rajin berusaha sehingga jika dia pulang ke rumah pada waktu petang dengan keadaan letih maka dia beroleh keampunan daripada Allah s.w.t.

Muhasabah Diri Bagi Pelihara Imej Islam

Perkataan fitnah berasal daripada kalimah arab yang bermaksud perbuatan menuduh sesuatu perkara bersifat tidak benar atau dusta. Menurut Al-Quran, fitnah itu membawa konotasi makna yang pelbagai seperti kekafiran(syirik), kedustaan, kezaliman, kebinasaan, maksiat, ujian, peperangan, bencana, konflik, godaan dan sebagainya.
Firman Allah s.w.t. Yang bermaksud: “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang yang zalim.” (surah al-Baqarah, ayat 193)
Fitnah bermaksud kebinasaan. Firman Allah s.w.t. Yang bermaksud: “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata, izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah. Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab jahanam meliputi orang yang kafir.” (surah at-Taubah, ayat 49)
Jika dirujuk kepada pemahaman masyarakat kita mengenai fitnah, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. Yang menerangkan perkara ini yang bermaksud: Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya (di belakangnya) bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Perbuatan memfitnah itu lahir dari dalam hati individu yang penuh dengan sifat negatif dan keji seperti hasad, iri hati dan dendam. Masalah bermula daripada hati yang menjadi 'ibu' kepada setiap tindak tanduk manusia. Jika dilihat kepada sirah Rasulullah s.a.w. serta keluarganya, Ummu al-Mukminin Saidatina Aisyah r.a tidak terlepas dari menghadapi ujian fitnah.
Pelbagai permasalahan yang timbul memerlukan umat Islam muhasabah diri agar imej Islam tidak tercalar dan maruah Islam tidak tergadai. Sebagai umat Islam yang sentiasa teguh mempertahankan kesucian dan ketinggian agamanya, marilah sama-sama kita menjaga setiap tingkah laku kita bagi mendepani seribu satu ujian dan cabaran yang semestinya tidak akan berhenti di sini.
Kerap kali kita merasakan, jika kita menjadi mangsa fitnah, maka musnahlah bagi yang membuat fitnah itu. Tetapi adakah kita sedar, kadangkala tindak-tanduk dan pertuturan kita yang membuka ruang untuk kita terus difitnah. Umat Islam harus insaf bahawa sebagai seorang Muslim, kita dipertanggungjawabkan untuk membawa imej Islam dalam setiap inci perkara dalam kehidupan. Gunakanlah kebijaksanaan dan kewarasan akal anugerah Allah s.w.t dengan didasari oleh wahyu Ilahi dalam menangani sesuatu isu yang berbangkit.
Letakkan emosi itu pada tingkat paling bawah sekali agar ia tidak menguasai tindakan kita. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.” (surah al-Hujuraat, ayat 6)

....


I made this widget at MyFlashFetish.com.