Perkataan fitnah berasal daripada kalimah arab yang bermaksud perbuatan menuduh sesuatu perkara bersifat tidak benar atau dusta. Menurut Al-Quran, fitnah itu membawa konotasi makna yang pelbagai seperti kekafiran(syirik), kedustaan, kezaliman, kebinasaan, maksiat, ujian, peperangan, bencana, konflik, godaan dan sebagainya.
Firman Allah s.w.t. Yang bermaksud: “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang yang zalim.” (surah al-Baqarah, ayat 193)
Fitnah bermaksud kebinasaan. Firman Allah s.w.t. Yang bermaksud: “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata, izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah. Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab jahanam meliputi orang yang kafir.” (surah at-Taubah, ayat 49)
Jika dirujuk kepada pemahaman masyarakat kita mengenai fitnah, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. Yang menerangkan perkara ini yang bermaksud: Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya (di belakangnya) bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Perbuatan memfitnah itu lahir dari dalam hati individu yang penuh dengan sifat negatif dan keji seperti hasad, iri hati dan dendam. Masalah bermula daripada hati yang menjadi 'ibu' kepada setiap tindak tanduk manusia. Jika dilihat kepada sirah Rasulullah s.a.w. serta keluarganya, Ummu al-Mukminin Saidatina Aisyah r.a tidak terlepas dari menghadapi ujian fitnah.
Pelbagai permasalahan yang timbul memerlukan umat Islam muhasabah diri agar imej Islam tidak tercalar dan maruah Islam tidak tergadai. Sebagai umat Islam yang sentiasa teguh mempertahankan kesucian dan ketinggian agamanya, marilah sama-sama kita menjaga setiap tingkah laku kita bagi mendepani seribu satu ujian dan cabaran yang semestinya tidak akan berhenti di sini.
Kerap kali kita merasakan, jika kita menjadi mangsa fitnah, maka musnahlah bagi yang membuat fitnah itu. Tetapi adakah kita sedar, kadangkala tindak-tanduk dan pertuturan kita yang membuka ruang untuk kita terus difitnah. Umat Islam harus insaf bahawa sebagai seorang Muslim, kita dipertanggungjawabkan untuk membawa imej Islam dalam setiap inci perkara dalam kehidupan. Gunakanlah kebijaksanaan dan kewarasan akal anugerah Allah s.w.t dengan didasari oleh wahyu Ilahi dalam menangani sesuatu isu yang berbangkit.
Letakkan emosi itu pada tingkat paling bawah sekali agar ia tidak menguasai tindakan kita. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.” (surah al-Hujuraat, ayat 6)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan