Selasa, 30 November 2010

Belia? Inikah manusia?


Let the picture do the talking...

Langkah mencintai Allah

Cinta sentiasa menjadi buruan manusia. Manusia sering memburu cinta yang berbeza. Ada yang memburu cinta wanita, suami, harta dan sebagainya. Namun cinta yang hakiki yang tidak pernah mengecewakan ialah cinta Allah. Cinta Allah-lah yang layak dikejar. Amalkan petua-petua berikut bagi merasai manisnya mencintai Allah.

- Amalkan segala suruhan Allah dengan sungguh-sungguh dan tanpa banyak soal dan alasan.
- Jauhi larangan Allah dan jangan sekali-kali dekatinya apatah lagi melakukannya. Simpanlah rasa "tidak sedap hati" saat kali pertama melakukan sesuatu yang dimurkai Allah sebagai bekalan menjauhkan diri daripada maksiat.
- Letakkan Allah sebagai prioriti dalam hidup dan dahulukan Allah dalam segala sesuatu, tidak kira ketika melakukan ibadah atau saat perlukan pertolongan.
- Sentiasa berdoa dalam setiap perbuatan kerana itu akan mengingatkan kita kepada Allah setiap masa
- Reda atas segala ketentuan qadak dan qadar terutamanya jika ditimpa musibah.
- Kerahkan semua anggota badan mentaati Allah, termasuk hati dan juga lidah.
- Anggap dunia sebagai sebuah penjara. Abu Hurairah meriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Dunia itu penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir." (Riwayat Muslim no. 7606). Apakah bekalan yang biasanya dibawa balik oleh seorang banduan? Apakah dia mampu membawa harta kekayaan atau sijil yang mengiktiraf tahap inteleknya? Banduan biasanya hanya mampu membawa keluar sama ada sikap lamanya atau sekeping hati yang bersih.
-Renew. Sentiasalah perbaharui cinta kepada Allah. Dunia ini melelahkan kerana tempat beristirahat hanyalah di akhirat. Lepas satu kebaikan dan ibadah dikerjakan, lakukanlah yang lain pula.
- Aktif. Seorang hamba yang betul-betul mencintai Allah akan jadi ibarat peniaga yang tamak, pantang ada peluang melakukan ibadah akan terus dilaksanakan tanpa tawar menawar.
- Ikhlas. Pastikan cinta kepada Allah ikhlas hanya semata-mata untuk mendapatkan keredhaan-Nya.
- Pinta. Jangan menganggap bahawa dengan amal ibadah semata-mata telah menyampaikan diri kita kepada cinta-Nya, dan laksanakan amalan yang disukai-Nya.
- Cintailah apa sahaja yang disukai Allah dan bencilah apa jua yang dibenci-Nya.

Isnin, 29 November 2010

Usah dibenci pelaku maksiat

Diceritakan bahawa suatu ketika Nabi Isa a.s sedang berjalan bersama seorang muridnya. Tiba-tiba seorang lelaki yang terkenal suka melakukan maksiat mengikuti mereka dari belakang.

Murid Nabi Isa itu menoleh ke arah orang itu dengan penuh kebencian. Lalu dia berdoa di dalam hati, "Ya Allah, janganlah Engkau himpunkan diriku bersama orang ini."

Nabi Isa tiba-tiba menoleh kepada muridnya dan berkata, "Doamu telah dikabulkan. Allah menerima taubat orang itu dan mengusir kamu. Pergilah engkau dari sisiku."

Kita sememangnya membenci perbuatan maksiat. Namun kebencian kita kepada maksiat tidak bererti membenci dan menghina orang yang melakukannya. Sering kali sikap negatif sebegini membuatkan orang semakin jauh daripada agama. Sebaliknya, kita harus membuka hati kita untuk mengasihi lalu memberi nasihat yang tulus kepadanya. Kelembutan selalunya lebih berkesan dalam mengubah orang lain daripada kekerasan atau penghinaan..

Hormati semua orang

Sikap merendahkan diri boleh dimulai dengan cara mengubah pandangan kita kepada orang lain. Usah lagi menjadikan pakaian, kenderaan dan penampilan luaran seseorang sebagai penentu sikap kita kepadanya. Tidak juga asal usul dan negeri asal orang tersebut. Tidak, kita mesti mengormati semua manusia, kerana ia ialah makhluk yang dimuliakan Allah dalam al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud : "Dan sungguh kami telah muliakan anak-anak Adam." (Surah al-Isra' 17:70)

Supaya dapat merendahkan diri, kita harus membuang "perasaan lebih baik daripada orang lain". Kita harus selalu menyedari bahawa orang yang kita anggap hina boleh jadi sagat mulia di sisi Allah S.W.T. Imam Muslim no 6848 meriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : "Betapa banyak orang yang sangat kusut, selalu ditolak dari pintu-pintu rumah, namun kalau ia berdoa pasti Allah kabulkan permintaannya."

Dalam kitab al-Zuhd al-Kabir, Imam al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanadnya hingga kepada tokoh tasawuf besar di Mesir bernama Zun Nun al-Misri, katanya, "Sesungguhnya Allah menyimpan tiga perkara dalam tiga perkara. Allah menyimpan kemurkaan dalam kemaksiatan, menyimpan keredhaan dalam ketaatan dan menyimpan waliNya di antara sekalian manusia. Maka janganlah engkau meremehkan maksiat walau sekecil apa pun, sebab siapa tahu dalamnya terdapat murka Allah. Janganlah engkau meremehkan ketaatan walau sekecil apa pun, sebab siapa tahu dalamnya terdapat redha Allah. Dan jangan engkau menghina hamba Allah walau seorang pun, sebab siapa tahu entah-entah dia wali Allah."

Ahad, 28 November 2010

Kisah ayam dan lembu

Seorang kaya duduk termenung di dalam sebuah restoran. Wajahnya sugul seperti memikirkan sesuatu.

"Kenapa semua orang mengatakan aku kedekut. Padahal semua orang tahu jika aku sudah tiada lagi di dunia nanti, aku akan memberikan semua harta kekayaanku kepada badan-badan kebajikan!" kata orang kaya tersebut kepada seorang pelayan.

Pelayan terdiam sejenak dan kemudian berbicara,"Akan saya ceritakan kepada tuan tentang kisah ayam dan lembu," Lalu dia pun bercerita..

Pada zaman dahulu, terdapat sekumpulan ayam dan lembu di sebuah ladang. Lembu begitu popular dan disenangi, sedangkan sang ayam tidak sama sekali. Perkara ini menghairankan sang ayam. Ia berasa cemburu dengan sang lembu.

Ia berkata kepada sang lembu, "Semua orang berkata begitu manis tentang dirimu dan mereka menganggap kamu murah hati, kerana setiap hari kamu memberi mereka krim dan susu. Tapi bagaimana dengan aku? Aku memberikan semua yang aku punya. Aku memberikan manusia dagingku. Aku turut memberikan mereka bulu-buluku. Bahkan mereka memasak dan membuat sup dengan kakiku untuk kesihatan. Tidak ada haiwan yang berbakti sebegitu banyak seperti itu. Kenapa aku masih tidak dihargai?"

"Adakah tuan tahu apa jawapan sang lembu?,"tanya si pelayan itu kepada orang kaya tersebut. Orang kaya yang mendengar cerita itu dengan penuh minat hanya menggeleng kepala.

"Sang lembu berkata tenang, "Mungkin kerana aku memberikannya sewaktu aku masih hidup..."


Moral:

Berbuatlah kebajikan sementara kita masih hidup dan sihat. Jangan menunggu tika kita sudah meninggal dunia, baru mengharapkan orang lain utk berbuat kebajikan atas nama kita. 

Cinta Agungku

Ya Allah, Engkau Tuhanku...

Tiada Tuhan melainkan Engkau,
Ya Allah, Engkau cinta agungku,
Nabi Muhammad pesuruh-Mu...

Ya Allah Engkau sumber bahagia,
Engkau sumber keselamatan,
EngKau sumber keamanan,
Kau adalah segalanya...

Ya Allah Kau lah pelindungku,
Engkaulah sumber rezekiku,
Di waktu sakit, Engkau sembuhkan,
Di waktu lapar, Engkau beri makan...

Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Engkau,
Engkau cinta agungku,
Nabi Muhammad pesuruh-Mu...

Ya Allah...

Engkaulah cintaku yang teragung,
Cintaku harap dibalas,
Janganlah cintaku ini tidak dibalas...

Janganlah biarkan aku tanpa pimpinan,
Pimpinlah aku ke jalan yang benar,
Hanya kepada Engkaulah harapanku,
Janganlah hampakan perasaanku...

Ya Tuhanku...

Aku mencintai-Mu..

- Artikel iluvislam.com


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Kita Terperangkap Dalam Zon Selesa

Bila menyelusuri beberapa buah blog dan tulisan di dalam facebook teman-teman, sudah ada di kalangan mereka yang mencatat betapa masa begitu pantas berlalu. Baru tersedar bulan November sudah menjengah. Tak lama nanti, Disember pun menyusul dan tahun 2010 akan pergi dalam lipatan kalendar.

Ya, masa itu begitu cepat berlari, andainya kita hanya berpusing di atas paksi yang sama, berkitar dalam orbit yang serupa. Jika dari hari ke hari, dari minggu ke minggu dan dari bulan ke bulan kita lakukan perkara yang sama secara berulang-ulang, maka kita sudah jadi umpama robot. Begitulah kita, bila kehidupan sudah dicarta oleh suasana di sekeliling.

Rutin bangun pagi, gosok gigi, pergi kerja, makan tengahari, sambung kerja, pulang ke rumah, makan malam, menonton TV dan kemudian tidur akan dilakukan setiap hari. Kita lalui ia tanpa jemu-jemu. Tanpa sedar kita lakonkan skrip perulangan ini dengan rela hati kerana kita berasa selamat di dalam acuan yang kita cipta sendiri. Zon selesa sudah menjadi kepompong kehidupan diri. Sebab itulah, jiwa meneroka, jiwa mengembara mahupun naluri survival kita sudah tumpul.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Kerana itu, kita aktif dalam sukan bolasepak, boling, skuasy, lumba kereta dan perahu layar. Kita aktif sebagai penyelam skuba, memanjat gunung, mencari artifak di hutan Amazon dan terjun dari kapalterbang dengan kelajuan 80 kilometer sejam. Tetapi kesemuanya kita lakukan sambil mengunyah karipap di depan TV! Kita terlibat dan cemas menghadapi gempa bumi, banjir besar, tanah runtuh, kemalangan, taufan, peperangan, pembunuhan dan pemberontakan. Tetapi kesemua itu pun kita saksikan sebagai penonton.

Sekadar Menjadi Penonton, Bukan Pengubah

Akibat terkurungnya diri di dalam putaran yang kita cipta sendiri, maka kita menjadi insan yang pasif. Apa sahaja yang terjadi pada dunia hanya ditatap. Hanya mata yang merakam. Tetapi otak masih beku untuk simpati, apatah lagi empati. Bila hati dah jemu, kita alih saluran TV untuk menonton hiburan demi hiburan demi hiburan.

Malangnya, di sini pula kita teruja. Perasaan geram, meluat, marah atau pun berasa sedih hingga mengalirkan air mata boleh pula terjadi andainya calon bakat artis pilihan di dalam sebuah rancangan realiti gagal untuk memasuki pusingan seterusnya. Mengapa kita sudah jadi begini?

Tidakkah ada rasa bersalah, apatah berasa rendah diri kerana hanya menjadi penonton dan bukannya pengubah kepada apa yang berlaku di sekeliling kita? Bukankah sedari kecil, kita berani, kita degil, kita suka mencuba apa yang dilarang oleh orang tua kerana jiwa kembara kita yang membara?

Ya, sewaktu kecil dahulu kita boleh bermandi hujan. Hari ini kita berlari dari padang letak kereta ke pejabat semata-mata kerana takut kepala kita pening terkena hujan gerimis. Dahulu, kita boleh terjun ke sungai dan berkubang di dalam sawah. Hari ini, kita terketar-ketar hendak melangkah parit kecil menuju ke gerai pasar malam. Dahulu, kita berani panjat pokok. Hari ini, semangat kita hendak terbang ketika memanjat tangga untuk menyapu sawang di siling rumah.

Seharusnya, semakin kita dewasa, kita menjadi semakin handal, semakin berani dan semakin pakar dalam apa jua bidang yang kita terokai. Hari ini lebih bagus daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Itulah yang seharusnya menjadi semangat untuk memaju diri. Umpama berlian yang semakin lama semakin keras dan semakin tinggi nilainya. Bukan seperti bangkai yang semakin lama semakin busuk, semakin reput dan akhirnya menjadi debu.

Tetapi, kerana terlupa untuk bermuhasabah diri, kita biarkan diri hanyut di arus kehidupan. Hinggakan kita ada kerja, tetapi tiada kerjaya, ada daya tetapi tiada usaha, ada keinginan tetapi tiada hasrat dan ada mimpi tetapi tiada impian. Begitulah bila kita biarkan minda dipengaruhi unsur-unsur dari luar sehinggakan suara hati sendiri telah tenggelam.

Berubah Dengan Menambah

Berubahlah. Berubah dengan menambah. Apakah bahasa baharu, buku baharu, hobi baharu atau surah baru yang sudah dihafal pada tahun ini? Apakah jumlah sedekah kita sudah bertambah? Apakah kita boleh menerima teknologi baru, jika bukan sebagai penciptanya, sekurang-kurangnya sebagai penggunanya?

Kalau kita menutup buku sebaik sahaja kita menyimpan skrol ijazah, kalau kita menutup hati sebaik sahaja kita melipat sejadah, maka kita akan jadi sama seperti orang lain di luar sana. Mereka di luar akan bercakap ~ bukan bertutur, mengagak ~ bukan mentafsir, mengira ~ bukan mencongak, kasihan ~ bukan prihatin dan pandai bertanya tetapi tidak reti menyoal. Kita jadi orang biasa di kalangan orang yang biasa.

Jika dipandang dari langit, kita seperti sekelompok haiwan yang berkulit, berwajah dan bertindak mengikut apa yang dibuat oleh haiwan yang lain. Jika begitulah kita, sukar juga kita menjadi insan terpilih. Kreatifnya Allah Al-Mussawir, membentuk wajah-wajah manusia yang berbeza. Meskipun kita semua mempunyai dua mata, dua telinga, satu hidung dan satu mulut. Tidak ada satu pun wajah kita di antara berbilion manusia yang lain mempunyai yang serupa. Sehinggakan pasangan kembar pun ada perbezaan raut wajahnya. (Yang punyai wajah yang serupa hanyalah pelanduk!)

Oleh kerana tidak ada satu pun manusia yang sama seperti kita, sewajarnyalah kita menjadi insan unik. Punyai identiti, hasrat, impian, iltizam mahupun istiqamah yang lain daripada orang lain. Kita patut begitu kerana bukan orang lain. Kita adalah diri kita.

Kita bukannya stereotaip!

- Artikel iluvislam.com

....


I made this widget at MyFlashFetish.com.