Isnin, 14 Februari 2011

Daripada Baginda Kita belajar

Beberapa hari lagi Maulidur Rasul SAW. Oh, saban tahun kita melaluinya bukan? Saban tahun hari lahir Rasulullah SAW kita sambut dengan meriah. Ada yang buat perarakan. Ada yang buat majlis itu dan majlis ini. Tazkirah-tazkirah mengingati baginda turut diperdengarkan.
Tetapi saban tahun ulangan semua rutinan itu, apakah yang kita ambil pengajaran?
Adakah pegangan Rasulullah kita tanam kemas sebagai pegangan kita?
Apakah suri teladan Rasulullah, kita ambil sebagai peribadi kita?
Atau kita kekal mengambil contoh-contoh lain yang tidak syar’ie sebagai idola kita?
Tahukah kita, pada Rasulullah itu punya motivasi yang tertinggi dan tidak tertanding?
Maka di dalam artikel ini kita lihat, dan mencerahkan penglihatan kita yang terdinding.


Rasulullah itu, dan kepercayaan baginda.

Satu perkara yang saya teruja dengan Rasulullah SAW, adalah keutuhan keimanan baginda.

Bayangkan ya, baginda menerima wahyu pertama di dalam gua, tempat tiada siapa yang memerhatikan baginda. Beliau pula menerima wahyu daripada Malaikat yang tidak kelihatan dek mata manusia. Baginda berurusan dengan Allah, menerima arahan daripadaNya, menerima perintah dan larangan daripadaNya, yang mana Allah itu langsung tidak mampu diperhatikan oleh sesiapa.

Kemudian, jalan yang baginda tempuhi, dalam membawa perintah daripada Yang Tidak Terlihat itu bukanlah jalan yang mudah. Penuh cabaran, dihampari onak dan duri. Dia pula diperangi oleh kaumnya sendiri. Bahkan cuba dibunuh oleh kaum kerabat Makkahnya sendiri.

Jika baginda itu, hendak memberikan alasan bahawa apa yang diarahkan kepada baginda itu adalah ‘satu kerja gila, yang hanya orang-orang gila sahaja yang melakukannya’, maka baginda adalah yang paling layak memberikan alasan itu untuk tidak berusaha menyebarkan kalam Allah SWT.
Sebab siapa yang nampak Allah? Siapa yang nampak Malaikat? Tiada. Ditambah pula, arahan daripada yang tidak ternampak itu bukannya membawa kepada kesenangan hidup, bahkan perlu menempuhi cabaran dan dugaan, serta yang dijanjikan kesenangan yang sebenarnya pula adalah di akhirat, satu tempat yang juga tidak kelihatan. Dan baginda, Rasulullah SAW yang kita cinta itu, perlu meyakinkan masyarakat untuk mengambil kepercayaan itu?

Dapatkah kita melihat ‘pressure’ pada Rasulullah SAW?

Tetapi perhatikan baginda. Saya ulang. Perhatikan baginda. Ya, perhatikan baginda.
Apakah baginda memberikan alasan? Tidak.
Apakah baginda mengeluh dan berhenti? Tidak.
Apakah baginda merungut dan mencaci tugasannya? Tidak.
Mengapa? Soalannya, mengapa?

Sedangkan, baginda adalah paling berhak untuk menyatakan ‘ini semua kerja gila’, ‘nanti orang kata apa’, ‘pasti semua akan memerangi aku’, dan ketakutan-ketakutan lain. Tetapi mengapa baginda tidak menyatakannya? Mengapa baginda memilih untuk meneruskan perjuangan baginda?

Kerana inilah dia kebenaran. Dan baginda ‘melihat’ kebenaran itu. Baginda ‘merasai’nya. Maka baginda yakin dengannya, dengan keyakinan yang tidak berbelah bagi. Sehingga sedikit kegoyahan pun tidak pernah terzahir dalam pergerakan baginda. Maka baginda berjuang, berjuang menegakkan kebenaran yang baginda rasai tadi, hingga ke penghujung nafas baginda.
Dan kita?
Lihatlah baginda

Lihatlah baginda, saat Abu Talib meminta baginda menghentikan tugasan dakwah baginda kerana orang-orang Quraisy mula meminta untuk membunuh baginda, apakah yang baginda nyatakan?

“Wahai pakcikku, andai mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, aku tetap tidak akan menghentikan kerja-kerja ini, sehingga Allah memenangkanku atau aku binasa kerananya.” – Sirah Raheeq Al-Makhtum.

Lihatlah baginda, saat penyeksaan terhadap kaum muslimin Makkah meningkat, apabila ada sahabat mengeluh dan mempersoalkan bantuan Allah SWT, baginda menjawab:

“Dan Allah akan menyempurnakan hal ini(dakwah Islam) hingga nanti ada yang merentasi padang pasir dari San’a ke Hadhramaut(kedua-duanya adalah kawasan di Yaman) dalam keadaan tidak takut kepada apa-apa selain Allah.” - Sirah Ibn Hisham.

Lihatlah baginda saat berada di dalam Gua Tsur dan Kaum Musyrikin Makkah sudah berada di hadapan pintu gua, Abu Bakr RA ketika itu pula ketakutan, baginda bersabda:

“Wahai Abu Bakr, apa pandangan kau sekiranya kita berdua, dan yang ketiganya adalah Allah?” – Sirah Raheeq Al-Makhtum.

Dan lihatlah apabila baginda dan para sahabat dipulaukan selama tiga tahun tiga bulan, hingga mulut mereka pecah kerana terpaksa memakan pucuk kayu, hingga mereka terpaksa merebus kulit kasut mereka untuk mengalas perut, lihatlah baginda selepas penyeksaan itu berakhir, apakah baginda berhenti?
Tidak sama sekali.
Lihatlah baginda. Lihatlah baginda. Apakah kita ini tidak memerhati?

Kita

Kita sering mengeluh dan memberikan alasan. Kita sering merungut dan melepaskan keluhan. Kita tidak betah berkerja sedikit keras untuk menegakkan kepercayaan ini. Kita tidak senang untuk berkorban untuk menyebarkan kepercayaan ini. Bahkan, jangan kata memperjuangkan kepercayaan ini, ramai pula kalangan kita malas untuk mengambil kepercayaan ini sebagai cara hidup kita.

Sedangkan ada satu susuk tubuh yang mulia, telah menunjukkan contoh tersolid buat ikutan kita. Itulah dia Rasulullah SAW. Yang mana kalau di dalam hal memberikan alasan dan rungutan, bagindalah orang pertama yang sepatutnya berbuat demikian.

Daripada baginda, kita belajar.

Kita sepatutnya ekstrak kekuatan daripada keimanan.

Kita beriman perkara yang sama juga dengan baginda. Tiada perbezaan langsung pun. Yang berbezanya adalah, sedalam mana kita beriman kepada perkara itu. Sedalam mana keimanan kita kepada Allah SWT? Sedalam mana keyakinan kita kepada janji-janji Allah SWT?

Maka sepatutnya kita melihat kepada Rasulullah SAW.

Tidakkah kita merasakan bahawa, sekiranya kita mencontohi baginda, mengambil motivasi daripada kehidupan baginda, tiada siapa yang mampu menewaskan kita?

Penutup: Lihatlah baginda, dan belajar

Namun hari ini siapakah yang menyelak sendiri helaian-helaian buku sirah baginda?

Siapakah yang berusaha mencari buku-buku sirah yang sohih yang dikarang oleh ulama’ mukhtabar seperti Buku Sirah Raheeq Al-Makhtum karangan Mubarak Furi, atau Buku Fiqh Sirah oleh Sheikh Ramadhan Al-Bouty?

Kadangkala kita melayan sirah Rasulullah ini seperti lagenda Hang Tuah. Yang kita dengar-dengar daripada mulut orang sahaja, kemudian kita usung ke hulu-hilir. Sedangkan, Rasulullah itu sepatutnya menjadi kecintaan kita yang tertinggi, maka sirah baginda pastilah kita cari dari sumber yang tersohih. Pastinya tidak cukup daripada sekadar ceramah-ceramah dan tulisan artikel seperti ini.

Namun Rasulullah itu kita lupakan. Pegangan baginda tidak kita ambil. Perjalanan perjuangan baginda tidak kita lihat. Contoh tauladan baginda kita tinggalkan.

Kemudian bila masalah menimpa, kita minta untuk dimotivasikan?

Saya teramat yakin, sesiapa yang melihat cara hidup Rasulullah SAW, peribadi baginda, perjuangan baginda, akan menjadi manusia yang paling bermotivasi di atas dunia.

Kerana siapakah yang lebih berat lagi dugaan dan cabarannya daripada baginda Rasulullah SAW? Dan sejarah telah membuktikan, baginda adalah seorang yang berjaya mengharunginya.

Apatah lagi dugaan kita yang tidak seberapa, bukan?

Mari, lihat semula kepada Rasulullah SAW.
Dan belajar.

http://langitilahi.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

....


I made this widget at MyFlashFetish.com.