Ahad, 1 Mei 2011

Bencana Akibat Perbuatan Manusia


Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila Allah menurunkan azab ke atas dunia untuk satu-satu kaum, maka azab itu akan menimpa ke atas mereka yang berada sama dalam masyarakat kaum itu, kemudian apabila mereka dibangkitkan di akhirat nanti maka kedudukan mereka adalah mengikut taraf keimanan serta amal kebajikan yang mereka lakukan di dunia ini". (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Bala
Hadis di atas bermaksud apabila Allah mahu menurunkan bala atau bencana ke atas satu-satu kaum di dunia ini kerana ada di kalangan kaum itu melakukan kejahatan atau maksiat, maka azab yang diturunkan itu menimpa ke atas kaum yang beriman dan juga kepada mereka yang kufur. Tetapi apabila mereka berada di hari Akhirat nanti, mereka akan ditempatkan di tempat yang sesuai dengan kedudukan mereka mengikut keimanan dan amal kebajikan yang mereka lakukan di dunia ini.
Allah yang Maha Berkuasa, melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya tanpa mengira sesiapa. Allah melakukan itu dengan kehendak dan kekuasaan-Nya. Dialah yang menjadikan segala-galanya dan Dialah yang menjadikan siang dan malam, panas, sejuk, ribut dan sebagainya. Di samping itu, Allah menurunkan rahmat dan Dia juga menurunkan bala kepada mereka yang Ia kehendaki.
Sesungguhnya, Allah itu bersifat pemurah kepada sekalian makhluk termasuk jin dan manusia, sama ada makhluk itu beriman kepada-Nya atau makhluk itu kufur kepada-Nya. Allah memberi banyak nikmat kepada hamba-Nya di dunia ini sama ada nikmat yang mereka rasakan itu telah diusahakan ataupun tidak. Akan tetapi pada hari Akhirat nanti Allah tidak akan memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang kufur, sebaliknya memberikan nikmat kepada mereka yang beriman saja.
Namun begitu Allah menurunkan nikmat atau bala secara khusus kepada hamba-Nya di dunia ini disebabkan kezaliman mereka atau kerana keingkaran mereka. Di samping itu, Allah telah menurunkan bala atau bencana secara umum ke atas satu-satu kaum disebabkan ada dalam masyarakat kaum itu melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.
Photo by:REUTERS/Paulo Whitaker (BRAZIL ENVIRONMENT SOCIETY DISASTER)
Dengan demikian, apabila Allah murka kepada sebahagian daripada kaum itu kerana kejahatan yang dilakukan oleh mereka, maka Ia menurunkan bala dan bencana ke atas kaum itu secara umum tanpa memilih sama ada mereka itu terdiri dari dari orang kafir atau pun dari mereka yang beriman.
Sungguhpun begitu, setiap mereka yang beriman telah dijanjikan dengan nikmat syurga manakala bagi mereka yang kafir telah dijanjikan dengan balasan neraka di akhirat kelak.
Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW sungguh bernasib baik kerana Allah tidak memberi hukuman yang sewajarnya kepada hamba-Nya yang melakukan maksiat di dunia ini sekalipun seseorang itu telah melakukan dosa yang besar.
Balasan yang diberi kepada mereka di dunia ini hanya kecil saja. Ia boleh dianggap sebagai pengajaran serta menjadi teladan kepada mereka yang hidup di dunia ini supaya insaf dan berhenti daripada melakukan sebarang kemungkaran.
Sebaliknya balasan yang wajar diberikan kepada mereka yang bersalah itu adalah di akhirat kelak sekiranya mereka mati belum sempat untuk bertaubat.
Dengan demikian, kita sebagai umat Muhammad patut bersyukur kepada Allah kerana Ia telah memberikan taufik hidayah kepada kita di mana kita dapat beriman kepada-Nya serta berpegang dengan agama-Nya.
Pada masa dulu, sebelum adanya syariat Nabi Muhammad SAW seperti berlakunya ke atas nabi terdahulu seperti nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan lain-lain yang mana pada zaman itu, jika ada mereka yang tidak beriman atau mereka yang melakukan perbuatan mungkar dan apabila mereka diberi amaran supaya mematuhi suruhan dari Allah tetapi mereka masih lagi enggan, Allah menurunkan ke atas mereka dengan azab yang sungguh dahsyat bagi membinasakan kaum itu.
Bala atau bencana yang diturunkan itu bermacam-macam rupa seperti yang berlaku ke atau kaum Nabi Nuh yang berupa banjir yang sangat besar.
Photo by:REUTERS/Stringer (CHINA - Tags: ENVIRONMENT ANIMALS SOCIETY) CHINA OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN CHINA
Hal sama juga berlaku kepada umat Nabi Musa yang mana kaum Firaun tenggelam dalam sungai Nil. Bala yang menimpa Nabi Lut pula berlaku di mana bumi mereka diterbalikkan.
Dari Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah saw bersabda: "Kelak bumi akan memuntahkan jantung hatinya berupa tiang-tiang emas dan perak. Maka datanglah seorang pembunuh seraya berkata: "Kerana inilah aku jadi pembunuh". Kemudian datang pula si perompak, lalu berkata: "Kerana inilah aku putuskan hubungan silaturrahim". Kemudian datang pula si pencuri seraya berkata: "Kerana inilah tanganku dipotong". Sesudah itu mereka tinggalkan sahaja harta kekayaan itu, tiada mereka mengambilnya sedikitpun." (Riwayat Muslim)
Lazimnya manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana gila mengejar harta dunia, manusia terpengaruhi oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan sehingga ada yang sanggup berbunuh-bunuhan, merompak dan memutuskan silaturrahim.
Dunia dicipta untuk menguji manusia siapakah yang paling bertakwa. Sesungguhnya harta dunia tidak akan membawa apa-apa erti jika ia tidak dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Allah.
Hakikat harta diterangkan Rasulullah saw seperti sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: "Seorang hamba (manusia) berkata, "Hartaku, hartaku!". Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis: (1) Apa yang dimakannya lalu habis. (2) Apa yang dipakainya lalu lusuh. (3) Apa yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat. Selain yang (3) itu, semuanya akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain". (Muslim)
مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ وَأَرْسَلْنَاكَ لِلنَّاسِ رَسُولاً وَكَفَى بِاللّهِ شَهِيدًا
Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri. Kami mengutusmu menjadi Rasul kepada segenap manusia. Dan cukuplah Allah menjadi saksi. 
(Surah An-Nisa' 4: Ayat ke 79)

Lensa Hati

Lensa Hati adalah ruangan perkongsian foto oleh fotografer-fotografer serata dunia dari pelbagai jenis bidang fotografi. Foto atau gambar menceritakan 1001 macam kisah, tetapi Lensa Hati akan menekankan aspek kerohanian hati dari foto, yakni perkaitan dari foto kepada al-Quran mahupun Hadith Rasulullah SAW. dan apa jua perkara kebaikan darinya. Moga apabila kita melihat di alam realiti seperti foto yang dikongsikan di sini, lalu terbitlah ayat al-Quran atau Hadith dari benak hati kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

....


I made this widget at MyFlashFetish.com.