Selasa, 7 Jun 2011

Perbezaan hasad, ghibtah dan munafasah

Hasad, ghibtah dan munafasah. Ketiga-tiga kalimah ini sama tetapi tidak serupa. Mereka mempunyai makna tersendiri walau agak mirip.

   Hasad dengki   
Berharap dan berusaha agar sesuatu nikmat yang dianugerahkan Allah kepada seseorang terhapus, luput dan lupus

Hukum : Haram mengikut sepakat ulama. Firman Allah bermaksud : "Dan daripada kejahatan pendengki apabila ia dengki." (Surah Al-Falaq 113 : 5)

Dalam ayat ini, Allah meminta kita berlindung daripada bahana dan bahaya hasad. Jika sesuatu itu perlu kita jauhi, maka lebih-lebih lagi hasad tidak patut berada dalam hati kita


   Ghibtah (iri hati)   
Berharap nikmat yang dimiliki oleh orang lain turut dimilikinya tanpa berharap atau bercita-cita nikmat tersebut  luput daripada orang lain

Hukum : Harus - Jika berkaitan dengan urusan dunia
              Mustahab (sunat) - Jika berkaitan dengan ibadah dan ketaatan


   Munafasah    
Bersaing untuk mencapai sesuatu sebagaimana yang telah dicapai oleh orang lain.

Hukum : Harus tetapi tidak perlu keterlaluan sehingga melangkaui batas kemampuan seorang manusia. Munafasah ini juga perlu terhad kepada ruang lingkup perkara-perkara yang dibenarkan agama dengan cara yang juga "patuh syariah". Sebaik-baiknya bersainglah dengan diri sendiri berdasarkan konsep, "semoga hari ini lebih baik daripada semalam".


Abdullah bin Mas'ud meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : "Tidak boleh hasad (ghibtah) kecuali kepada dua orang iaitu orang yang Allah anugerahkan kepadanya harta lalu dia infakkan pada jalan kebaikan dan orang yang Allah berikan ilmu (Al-Quran dan Sunnah), ia menunaikan dan mengajarkannya." (Muttafaq 'alaih)

Ahad, 5 Jun 2011

Amalan tertolak kerana Mazmumah

Allah S.W.T menciptakan tujuh malaikat sebelum menciptakan langit dan bumi. Kemudian, ditentukan setiap mereka untuk menjaga pintu-pintu langit. Pada setiap pintu ini, malaikat pembawa amalan manusia akan ditahan oleh mereka untuk memastikan sama ada amalan manusia tersebut diterima dan dapat melalui pintu langit seterusnya ataupun sebaliknya.

Pintu langit pertama
Malaikat membawa amalan seorang hamba yang mempunyai nur seperti cahaya matahari. Berkata malaikat penjaga pintu langit : "Pukullah amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah menyuruhku supaya tidak membenarkan amalan orang yang mengumpat itu dapat naik ke langit seterusnya."

Pintu langit kedua
Selepas berjaya melalui pintu langit pertama, malaikat itu sampai ke pintu langit kedua dengan membawa amalan yang dilihat baik dan banyak. Kata malaikat penjaga langit : "Berhenti kamu dan pukul amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya kerana dia berharap agar dengan amalannya dia mendapat keuntungan di dunia."

Pintu langit ketiga
Malaikat membawa amalan berupa pahala sedekah, solat dan puasa. Para malaikat kagum melihat amalan tersebut lalu dibawa melintasi langit pertama dan kedua. Tetapi ditahan di langit ketiga. Malaikat berkata : "Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takabbur dapat melintasiku. Orang itu suka membesarkan diri di majlis orang ramai."

Pintu langit keempat
Amalan berupa tasbih, solat, puasa, haji dan umrah dibawa malaikat sehingga melepasi pintu langit keempat. Berkata malaikat penjaga langit : "Allah memerintahkan supaya amalan orang yang ujub tidak boleh melintasiku. Dia beramal dengan dorongan perasaan ujub dalam dirinya."

Pintu langit kelima
Amalan yang dibawa berseri-seri, lalu berkata malaikat penjaga langit : "Berhenti dan buangkan amalan ini pada muka orang yang mengerjakannya. Mereka sebenarnya hasad kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya."

Pintu langit keenam
Malaikat membawa amalan solat, zakat, umrah, jihad dan puasa yang bercahaya seperti bulan purnama. Lalu berkata malaikat penjaga langit : "Pukullah amalan ini kepada orang yang mengerjakannya kerana dia tiada belas kasihan kepada hamba-hambaNya yang menghadapi kesusahan."

Pintu langit ketujuh
Berkata Malaikat Sum'ah (ingin mahsyur) : "Aku akan menghalang amalan orang yang riyak daripada sampai kepada Tuhanku. Dia beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi supaya amalannya disebut-sebut."


Ketika bertemu Allah
Kemudian, naik malaikat yang membawa amalan seorang hamba yang berupa solat, zakat, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam diri dan berzikir. Amalan ini dibawa oleh para malaikat penjaga langit sehingga dapat melintasi semua halangan dan sampai kepada Allah. Ketika itu, Allah berfirman yang bermaksud : "Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini. Aku lebih mengetahui segala isi hatinya. Dia tidak ikhlas kepadaKu dengan amalannya. Dia boleh menipu orang lain, menipu kamu tetap tidak boleh menipu Aku."

Jumaat, 3 Jun 2011

Kapal Karam

Seorang lelaki tersadai di pinggir sebuah pulau. Dia satu-satunya mangsa kapal karam yang terselamat dan masih hidup. Apabila menyedari bahawa dia hanya seorang diri di pulau kecil dan terpencil itu, dia berdoa kepada Allah setiap hari supaya menyelamatkannya. Di samping itu, dia tidak putus-putus meninjau laut yang bagai tidak berpenghujung itu dengan harapan ada kapal yang lalu dan dapat menyelamatkannya. Namun, segala harapannya tinggal harapan.

Akhirnya lelaki tersebut membina sebuah pondok kecil di tepi pantai sebagai tempat berteduh daripada terik matahari di siang hari dan berlindung daripada dingin bayu malam. Suatu hari, dia pergi meredah hutan untuk mencari sumber makanan. Sebaik sahaja pulang, dia mendapati pondoknya terbakar hangus. Tiada apa yang tinggal kecuali abu hitam dan asap berkepul-kepul naik ke langit.

Lelaki tersebut terduduk. Merenung nasibnya yang malang, dia mula mempersoalkan takdir malang yang menimpanya. "Kenapalah Allah uji aku sampai tahap ini? Kenapa aku?". Petang itu, sedang dia berehat di bawah sepohon pokok kelapa, dia ternampak kelibat sebuah kapal dari jauh seolah-olah menuju ke arah pulau itu. Sehabis daya dia menjerit-jerit sambil melambai-lambai dengan harapan pengemudi kapal nampak akan kehadirannya di pulau itu. Jelaslah kapal itu memang menuju ke pulau itu.

Akhirnya lelaki tersebut diselamatkan dan dibawa naik ke kapal dan diberi makanan dan minuman. Namun dia berasa hairan bagaimana kapten kapal tahu dia berada di pulau itu. Dia bertanya kepada kapten tersebut, "Macam mana tuan tahu ada orang tersadai di pulau itu?". Kapten kapal lalu menjawab, "Kami ternampak asap dari pulau ini. Sebab itu kami menukar haluan ke sini kerana mungkin ada seseorang yang memerlukan bantuan."

Pengajaran : Jangan sesekali mempersoalkan apa yang Allah telah tetapkan untuk kita. Allah S.W.T lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Boleh jadi sesuatu yang kita pandang sebagai musibah hari ini merupakan sesuatu yang memberi keuntungan di kemudian hari.

....


I made this widget at MyFlashFetish.com.