Jumaat, 3 Jun 2011

Kapal Karam

Seorang lelaki tersadai di pinggir sebuah pulau. Dia satu-satunya mangsa kapal karam yang terselamat dan masih hidup. Apabila menyedari bahawa dia hanya seorang diri di pulau kecil dan terpencil itu, dia berdoa kepada Allah setiap hari supaya menyelamatkannya. Di samping itu, dia tidak putus-putus meninjau laut yang bagai tidak berpenghujung itu dengan harapan ada kapal yang lalu dan dapat menyelamatkannya. Namun, segala harapannya tinggal harapan.

Akhirnya lelaki tersebut membina sebuah pondok kecil di tepi pantai sebagai tempat berteduh daripada terik matahari di siang hari dan berlindung daripada dingin bayu malam. Suatu hari, dia pergi meredah hutan untuk mencari sumber makanan. Sebaik sahaja pulang, dia mendapati pondoknya terbakar hangus. Tiada apa yang tinggal kecuali abu hitam dan asap berkepul-kepul naik ke langit.

Lelaki tersebut terduduk. Merenung nasibnya yang malang, dia mula mempersoalkan takdir malang yang menimpanya. "Kenapalah Allah uji aku sampai tahap ini? Kenapa aku?". Petang itu, sedang dia berehat di bawah sepohon pokok kelapa, dia ternampak kelibat sebuah kapal dari jauh seolah-olah menuju ke arah pulau itu. Sehabis daya dia menjerit-jerit sambil melambai-lambai dengan harapan pengemudi kapal nampak akan kehadirannya di pulau itu. Jelaslah kapal itu memang menuju ke pulau itu.

Akhirnya lelaki tersebut diselamatkan dan dibawa naik ke kapal dan diberi makanan dan minuman. Namun dia berasa hairan bagaimana kapten kapal tahu dia berada di pulau itu. Dia bertanya kepada kapten tersebut, "Macam mana tuan tahu ada orang tersadai di pulau itu?". Kapten kapal lalu menjawab, "Kami ternampak asap dari pulau ini. Sebab itu kami menukar haluan ke sini kerana mungkin ada seseorang yang memerlukan bantuan."

Pengajaran : Jangan sesekali mempersoalkan apa yang Allah telah tetapkan untuk kita. Allah S.W.T lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Boleh jadi sesuatu yang kita pandang sebagai musibah hari ini merupakan sesuatu yang memberi keuntungan di kemudian hari.

1 ulasan:

....


I made this widget at MyFlashFetish.com.