Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :
"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
Perasaan syukur yang tidak terhingga kita rafakkan ke hadrat Allah di atas nikmat Ramadhan yang dijanjikan dengan rahmat pada awal kedatangannya diikuti dengan pengampunan dosa pada pertengahannya serta dibebaskan daripada api Neraka pada penghujungnya bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan.
Tawaran yang berharga daripada Allah terutama dengan anugerah Lailatul Qadar pada suatu daripada malam-malam Ramadhan di mana kelebihan beribadat pada malamnya lebih baik daripada seribu bulan mestilah sama-sama kita rebut bukan setakat disebut di mulut tanpa berusaha menghidupkannya. Taqwa itulah kalimah yang sentiasa disebut atas mimbar Jumaat dan bila tibanya bulan Ramadhan.
Antara ciri-ciri orang bertaqwa kepada Allah ialah sebagaimana yang disebut dalam al-Quran melalui firman Allah dalam ayat 17 – 19 surah az-Zaariyat:
"Mereka itu (orang taqwa) sedikit sekali tidur pada waktu malam, pada waktu sahur (akhir malam sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar memohon keampunan daripada Allah dan pada harta-harta mereka, ada bahagian yang ditentukan menjadi sedekah bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri daripada meminta-minta."
Sayyidina Umar al-Khottab pernah menyatakan kebimbangan tentang tidur dengan katanya : "Aku takut untuk tidur pada siang hari kerana bimbang banyak amanah rakyat akan terabai dan aku juga bimbang untuk tidur pada waktu malam kerana bimbang masa untuk beribadat kepada Allah semakin kurang."
Selagi umat Islam banyak tidur daripada ibadat, banyak berhibur daripada memikirkan tanggungjawab, banyak rehat daripada bekerja maka selagi itulah kita tidak akan maju dalam meneguhkan agama dan menguasai dunia.
Semoga Ramadhan tahun ini mampu digunakan sebaik mungkin dalam menambahkan ibadat bukannya menambah berat badan. Jadikanlah Ramadhan bulan yang penuh keberkatan, janji penggandaan pahala dan pengampunan dosa serta makbulnya doa sebagai bulan pesta ibadat bukan bulan pesta makanan lazat.
Banyakkan membaca dan tadarrus al-Quran serta yang paling penting adalah pengamalan terhadap kandungan al-Quran. Sesuatu ubat tidak berguna dalam menyembuhkan penyakit sekiranya hanya membaca arahan pada kulit ubat tersebut sahaja sebaliknya pesakit mesti memakannya barulah ubat itu berkesan dalam mengubati penyakit yang dihidapi.
Begitulah juga al-Quran tidak akan dapat menyembuh penyakit diri, ekonomi, politik, sosial umat Islam jika ia hanya dibaca tanpa pengamalan kepada sistem-sistem yang ditunjuk oleh al-Quran dalam kehidupan. Penuhilah masjid dan surau sebagaimana kita merindui untuk memenuhi Syurga Allah. Tarik dan ajak seramai mungkin anak-anak, saudara-mara, jiran tetangga kita dan umat Islam yang lain untuk bersama kita ke masjid dan surau.
Jinakkan anak-anak muda kita dengan masjid dan jangan biarkan ada di kalangan mereka terus mencemari Ramadhan dengan lumba haram dan sebarang aktiviti yang tidak berfaedah. Kita mesti serius dalam menangani masalah semakin ramai umat Islam yang meninggalkan solat dan puasa. Kita juga wajib menghidupkan peranan masjid dengan pelbagai program di samping ibadat khusus sehingga masjid semakin hidup dan berfungsi sepanjang masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan