Manusia bertindak melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasarkan emosi, bukannya logik. Begitulah mengikut hasil kajian pakar-pakar psikologi. Maknanya, apa yang kita rasa itulah yang mendorong kita membuat keputusan dan bertindak, bukan apa yang kita fikirkan. Ini menjelaskan mengapa sesuatu perkara yang telah kita ketahui kebaikannya, tetapi kita gagal melakukannya. Dan tetap melakukan sesuatu pebuatan walaupun telah kita akui keburukannya.
Solat Subuh misalnya, memang telah sedia kita ketahui lebih baik daripada tidur. Muazin telah menyeru, "Solat itu lebih baik daripada tidur." Namun mengapa begitu sukar untuk kita bangun melaksanakannya? Mengapa tindakan ktia tidak selaras dengan apa yang kita telah ketahui dan fikirkan?
Begitu juga dengan menghisap rokok, walaupun memang diakui memudaratkan kesihatan tetapi masih ramai yang terus menghisapnya termasuk sesetengah doktor. Semua itu menunjukkan dominasi emosi mengatasi logik. Apakah yang mempengaruhi emosi kita? Jawabnya, nilai! Oleh sebab itu, nilai ialah unsur yang sangat penting dalam kehidupan kita. Jika nilai yang kita pegang itu betul, benar dan baik, maka tindakan kita pun akan betul, benar dan baik. Dan sekiranya tersasar, hidup kita seluruhnya akan tersasar jua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan