Khamis, 30 Disember 2010

Putus asa untuk berdiri?

Putus asa. 

Itu adalah kalimah biasa yang akan pasti singgah dalam kehidupan manusia. Walau sekuat mana pun manusia itu, dia akan dijengah oleh kalimah ini. Walaupun dia adalah seorang manusia yang pernah berkata,
“ Aku tidak akan mengalah”
Semua manusia akan dijengah oleh dua perkataan yang memberikan satu makna ini. 

Cuma persoalannya, bagaimanakah kita ‘berkomunikasi’ dengan keputus asaan?

ALLAH SWT sudah menyediakan peringatan lengkap kepada manusia berkenaan putus asa,
“Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.” Surah Yusuf ayat 12.
 
Kita ini bergerak dalam kehidupan, berlandaskan keimanan sebenarnya. Kita hidup dengan keyakinan bahawa ALLAH SWT yang memberikan natijah itu dan ini, kita ini hanya bertanggungjawab untuk bergerak dan berusaha.

Kita percaya bahawa, ALLAH SWT yang memberikan kita rezeki dan menetapkan sesuatu kepada kita, dan kita tahu bahawa tanggungjawab kita sebagai HAMBA adalah mengambil asbab untuk sesuatu itu datang.
 
Sebab itulah manusia berusaha.
 
ALLAH SWT berfirman,
“ Sesungguhnya ALLAH SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu terlebih dahulu mengubah apa yang ada pada diri mereka” Surah Ar-Ra’d ayat 11.
 
Sebab itulah, apabila kita berputus asa, sebenarnya kita sudah berputus asa terhadap ALLAH SWT yang memberikan kita ujian, terhadap ALLAH SWT yang mengarahkan kita untuk berusaha, terhadap ALLAH SWT yang memberikan kita apa yang kita dapat.

Mari kita lihat seorang lelaki yang membeli sebiji tembikai. 
Dia balik dengan gembira dan memberikan tembikai itu kepada isterinya untuk dipotong. Sebaik sahaja dia makan, rupanya tembikai itu tidak manis. 
Dia lantas berang. Terus dia marah-marah dan menyumpah seranah atas ketidak manisan tembikai itu. Si Isteri yang melihat, menegur,
“ Abang, abang marah kepada siapa?”
 
Si lelaki terdiam. Isterinya menjelaskan. Penjual tembikai tidak bersalah, kerana dia pastinya ingin menjual hanya yang terbaik, dan dia juga tidak tahu bagaimana rasa tembikainya kerana mana ada penjual yang merasa tembikai yang hendak dibeli orang? 
Hendak marahkan si penanam tembikai, pastinya si penanam itu sudah bertanam dengan bersungguh-sungguh dan hanya hendakkan hasil yang baik. 
Bukan pada kuasa Si Penanam yang menentukan manis pahitnya buah tembikai itu. 
Akhir sekali, PENCIPTA benih tembikai itu sendiri, dan PENJAGA tembikai itu yang membolehkan tembikai itu tumbuh subur dari benih, menjadi buah.

Itulah ALLAH. 
DIA sahajalah yang berkuasa menjadikan tembikai itu manis, atau tawar.

“ Adakah abang marah kepada ALLAH?” Si Isteri bertanya. Si Suami terdiam tidak mampu berkata apa-apa. 
Tidak menerima ketawaran tembikai itu, seakan-akan menyalahkan ALLAH yang tidak menjadikannya manis.
Begitu jugalah dengan putus asa. 
Kita berhenti dari kerja kita, kita tidak mahu meneruskan perjalanan perjuangan kita, hanya kerana kita rasa kita lemah, hanya kerana kita rasa halangan semakin mencabar, maka perasankah kita, kepada siapa sebenarnya kita berputus asa? 
Kepada masalah kah? 
Kepada kelemahan diri kita kah?
Kepada Si PENYURUH usaha kah? 
Atau kepada Si PENDATANGKAN masalah kah?
Apakah alasan kita untuk berputus asa sebenarnya? Sebagai mu’min yang beriman kepada kekuasaan ALLAH SWT, sebagai seorang yang beriman yang bersangka baik kepada ALLAH SWT sebagai PENGATUR, adakah pantas untuk kita berputus asa?
 
Kemudian kamu akan berkata kepada saya….
“ Saya tahu putus asa ini tidak patut. Maka, apakah yang perlu saya buat untuk bangkit semula?”
Baru-baru ini saya berfikir berkenaan berdiri dan berjalan. 
Kita berdiri dan berjalan, semenjak kita pertama kali pandai menggunakan kaki dengan baik, hinggalah ke hari ini. 
Jika anda berumur 20 tahun, maka sudah sekitar 18 tahun anda berdiri dan berjalan, jika anda berumur 40 tahun, sudah sekitar 38 tahun anda berdiri dan berjalan. 
Saya hendak bertanya, kenapa anda tidak pernah berputus asa untuk berdiri dan berjalan sehari-hari?
Apakah yang menyebabkan anda tidak bosan berdiri dan berjalan? Kenapa bila anda duduk, kemudian anda mesti hendak bangun semula. Kenapa bila anda berhenti untuk rehat, kemudian anda berjalan semula? Anda tidak letihkan berjalan setiap hari? Kenapa perkataan putus asa tidak pernah datang kepada berdiri anda, dan berjalan anda?
 
Saya rasa, tidak pernah lagi manusia berkata begini,
“ Aku putus asa la berjalan dan berdiri ini. Lepas ini, aku tidak akan lagi berjalan dan berdiri”
 
Kenapa?

Sebab itulah sebenarnya fitrah manusia. Tidak akan mengalah, tidak akan penat. 
Kita berjalan, kerana kita punya matlamat yang hendak kita capai dengan berdiri dan berjalan itu. 
Setiap hari, kita punya perkara untuk kita capai, menyebabkan kita bergerak tanpa putus asa dan bosan. 
Setiap kali kita berjalan dan berdiri, kita jelas akan apa yang hendak kita capai. Contoh, kita hendak makan, maka kita berjalan untuk mendapatkan makanan. Niat kita memang jelas hendak makan, matlamat kita adalah nasi di dapur. Maka untuk mencapai hal itu, kita tidak kisah bergerak, walaupun kita sudah puluhan tahun bergerak. Kita tetap bergerak, tidak bosan, tidak putus asa.
Kenapa? Wujudnya niat dan matlamat yang jelas. Itu yang menghalang kita dari putus asa.
Sebab itulah seorang ulama’ ada berkata,
“ Putus asa di tengah perjalanan adalah kerana silapnya di titik permulaan”
 
Maka saya suka berkata, jika matlamat kita jelas, niat kita jelas, insyaALLAH kita tidak akan mengalah, walau rasa putus asa itu mendatang.

Kita akan dapat menangkisnya, atau kalau kita terjatuh di dalam putus asa sekalipun, kita akan mampu bangkit semula.

Pernahkah kamu mendengar cerita Nabi Nuh as? Dia adalah antara contoh manusia yang menunjukkan semangat tegar dan berjaya menangkis segala keputus asaan. Nabi Nuh terkenal dengan berdakwah yang paling lama, iaitu selama 950 tahun. Pernahkah seseorang terfikir, bagaimana dia tetap boleh berdakwah selama 950 tahun walaupun pengikutnya sepanjang waktu itu hanya sekitar 83 orang sahaja?
Kerana baginda tahu kenapa Nabi Nuh berdakwah, untuk apa, dan ke mana Nabi Nuh hendak pergi selepas itu. Sebab itulah Nuh AS tidak pernah rasa hendak berhenti atau berputus asa. Dia tahu bahawa dia sedang menjalankan amanah ALLAH, dan dia berusaha dengan sepenuh kekuatannya sepanjang 950 tahun itu.
Matlamatnya jelas, sebab itulah dia berusaha, tanpa kenal akan kalimah putus asa.

Hassan Al-Banna ada berkata,
“ ALLAH SWT tidak akan bertanya kepada kamu berkenaan natijah. Tetapi DIA akan mempersoalkan apakah yanng kalian telah usahakan?”

Justeru, usah putus asa.

Ubatilah keputus asaan dengan muhasabah.
Kenapa kita mulakan perkara itu? Untuk apa? Jika perkara itu perkara yang baik, tetapi kita mulakan dengan niat yang tidak betul, maka kita jangan hentikan kerja kita, tetapi kita perbetulkan niat kita dan terus bekerja. InsyaALLAH, jika kita lakukan sesuatu itu dengan bermatlamatkan matlamat yang jelas, maka tiada apa yang akan mampu menghentikan kita selagi matlamat kita tidak dapat kita realisasikan.

Kamu tidak percaya?

Maka lihat sahaja Rasulullah SAW dalam menyebarkan risalah ALLAH. Adakah baginda berputus asa? Baginda pernah disapa keputus asaan, tetapi baginda berjaya berkomunikasi dengan keputus asaan, membuatkan keputus asaan itu meminggir.

“ Andai kamu letakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, nescaya aku tetap tidak akan berhenti dari kerja-kerjaku ini….”

Kenapa baginda berani berkata sedemikian rupa?

Kerana keyakinan dan keimanannya kepada ALLAH yang tinggi.

Ubat putus asa, hanyalah keimanan kepada ALLAH.

Bila kita putus asa, sebenarnya itu adalah masalah keyakinan kita dengan bantuan ALLAH SWT dan sangka baik kita atas ujianNya.

Nah.. Apa yang kita tunggu lagi?
Bangkit la! 
Teruskan pekerjaan kita, sebagaimana kita terus berdiri dan berjalan tanpa bosan sehari-hari!

1 ulasan:

  1. Aisyah Abdul rahman23 Jun 2013 pada 12:03 PTG

    kalau kita sudah berusaha sehabisnya tetapi kaau Tuhan tidak izinkan maka kita tetaplah di tempat yang sama.....keyakinan akan membangkitkan ketenangan yang hakiki...

    BalasPadam

....


I made this widget at MyFlashFetish.com.