Selasa, 14 Disember 2010

Memanfaatkan Internet untuk amal ibadah

Pada masa kini secara umumnya ramai yang telah didedahkan dan berkemahiran untuk menggunakan kemudahan internet sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi. Dengan kemudahan internet, semua kebaikan dan keburukan berada di hujung jari anda.

Terdapat tiga golongan yang menggunakan kemudahan internet ini :

Pertama : Golongan yang memanfaatkan kemudahan internet untuk menyebarkan, berkongsi atau menimba ilmu dunia dan akhirat, menambahkan pendapatan kewangan, merapatkan ukhuwwah sesama insan dan sebagainya. Semua itu boleh dimasukkan ke dalam senarai amal solehnya dan dia mendapat ganjaran untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.

Kedua : Golongan yang menghabiskan masa berada depan komputer dengan bermain game, mendengar lagu, berborak kosong (chatting) dengan sesiapa sahaja, 'merayau-rayau' tanpa tujuan dan yang sewaktu dengannya. Waktunya dihabiskan berjam-jam tanpa sebarang faedah untuknya.

Ketiga : Golongan yang menggunakan internet untuk memuat naik dan memuat turun gambar-gambar tidak senonoh,melawati laman-laman porno, mengumpat, menyebarkan fitnah, melaga-lagakan manusia, menghasut sehingga memutuskan hubungan silaturahim dan  memusnahkan rumahtangga, berborak menggunakan bahasa kesat dan kasar, memuat naik gambar-gambar peribadi yang mendedahkan aurat dan banyak lagi aktiviti-aktiviti di internet yang mengundang laknat dan murka Allah SWT.


Bersama-sama kita bermuhasabah. Saya dan anda golongan yang mana? Sekiranya anda golongan yang pertama, anda hebat! Anda beruntung dan berbaloi walaupun dua atau tiga jam menghadap komputer.
Sekiranya anda golongan yang kedua, anda golongan yang rugi kerana masa anda dipersia-siakan tanpa sebarang faedah. Anda akan menyesal di akhirat nanti ketika berdepan dengan hisab amalan satu persatu termasuk masa yang kita habiskan.

Atau anda golongan yang ketiga? Awas! Dan hentikan tabiat buruk itu. Anda sedar atau tidak anda sebenarnya membuat koleksi dosa-dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil. Dosa mengumpat dan memfitnah zaman moden ini amat mudah dilakukan. Tidak perlu bersuara atau berkumpul ramai-ramai. Hanya dengan sekali klik dosa mencurah-curah menjadi milik anda.

Mudarat internet amat besar. Kerana internet  boleh menghilangkan maruah diri seseorang, boleh meruntuhkan rumahtangga, boleh memutuskan hubungan dua sahabat dan boleh meruntuhkan sebuah kerajaan.

Konklusinya, berhati-hatilah dalam menggunakan kemudahan internet. Manfaatkan kemudahannya untuk menjana amal soleh dan kebaikan di dunia dan akhirat. Jangan kerananya menyebabkan kita menerima penghinaan dan azab yang pedih bila kembali ke kehidupan yang sebenar nanti.

-Artikel Iluvislam-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

....


I made this widget at MyFlashFetish.com.